MBKT SASAR PENDAPATAN RM100 JUTA TAHUN INI

MBKT SASAR PENDAPATAN RM100 JUTA TAHUN INI

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyasarkan pendapatan hasil daripada kutipan keseluruhan sebanyak RM100 juta, tahun ini.

Datuk Bandar MBKT, Rosli Latif, berkata pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai dengan beberapa pelan yang sudah dirangka.

Beliau berkata, bagi tahun 2021 pihaknya berjaya meraih pendapatan sebanyak RM61.5 juta manakala pada tahun lalu, RM71.4 juta.

“Kita sudah menyediakan pelan tindakan yang dibentang dalam mesyuarat ahli majlis dan bersetuju menggunakan pelan berkenaan.

“Kita juga bukan melihat kepada kutipan cukai semata-mata, tetapi pada masa sama mencari jalan bagaimana mahu melakukan penjimatan dalam perbelanjaan.

“Malah, kita ada satu jawatankuasa khas yang akan memantau pelan pelaksanaan setiap bulan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga Solar Antara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu & TESDEC Green Energy Sdn Bhd0, di Menara MBKT, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Rosli berkata, pihaknya melihat dalam konteks solar, MBKT mampu melakukan penjimatan 30 peratus daripada bayaran bil elektrik.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan negeri, tetapi perlu memikirkan bagaimana untuk menambah pendapatan.

“MBKT juga mengambil beberapa inisiatif bagaimana mahu meningkatkan pendapatan dan kita akan berusaha bagi memastikan sasaran yang ditetapkan mampu dicapai tahun ini.

“Malah, kita juga tidak berorentasikan kepada keuntungan, tetapi kita mahu mengambil cukai selayaknya mengikut akta dan undang-undang,” katanya.

Sumber: BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *