Pegawai dari Israel dan Palestin berjanji untuk mengekang keganasan yang semakin meningkat di Tebing Barat dan kawasan sekitarnya sejak kebelakangan ini.
Persefahaman itu dicapai semalam dalam satu pertemuan di Aqaba, Jordan, yang bertindak selaku pengantara dan tuan rumah pertemuan antara pegawai keselamatan serta politik tertinggi Israel dan Palestin, yang turut disertai Amerika Syarikat (AS).
Dalam satu kenyataan bersama, pegawai Israel dan Palestin memaklumkan mereka akan bekerjasama untuk mengelakkan `keganasan berterusan’, dengan kedua-dua pihak menegaskan keperluan untuk mengurangkan ketegangan.
Sehubungan itu, Israel akan menghentikan perbincangan penubuhan mana-mana unit penempatan baharu selama empat bulan selain berjanji akan berhenti meluluskan sebarang penempatan baharu selama enam bulan.
“Selepas mengadakan perbincangan yang teliti dan berterus terang, pihak Palestin dan Israel menegaskan semula keperluan untuk mengurangkan ketegangan di lapangan bagi mengelak keganasan berterusan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan pada akhir rundingan yang turut dihadiri oleh pegawai dari Mesir dan Jordan, ketika kebimbangan memuncak berikutan kemungkinan peningkatan keganasan menjelang Ramadan pada bulan depan.
Selain itu, kenyataan sama menyatakan, Israel dan Pihak Berkuasa Palestin menegaskan `kesediaan dan komitmen untuk bekerja secara bersama bagi menghentikan langkah sebelah pihak selama tiga hingga enam bulan’.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengadakan rundingan lagi pada bulan depan di Sharm el-Sheikh di Mesir.
Pertemuan Aqaba adalah yang pertama seumpamanya sejak rundingan damai pada 2014 antara Palestin dan Israel gagal.
Sumber: BH Online
— Imedikel TV