TOKYO: Jumlah kelahiran bayi di Jepun turun untuk tahun kelapan berturut-turut kepada rekod terendah baharu pada 2023.
JapanToday melaporkan, data awal kerajaan yang dikeluarkan pada Selasa menunjukkan kerajaan berdepan tugas berat dalam usaha menangani pengurangan populasi negara itu.
Bilangan kelahiran turun 5.1 peratus berbanding setahun sebelumnya kepada 758,631, manakala bilangan perkahwinan merosot 5.9 peratus kepada 489,281, pertama kali dalam tempoh 90 tahun jumlah itu jatuh di bawah 500,000 .
Ia sekali gus meramalkan penurunan akan terus berlaku kerana kelahiran di luar perkahwinan jarang berlaku di Jepun.
Ditanya mengenai data terkini, jurucakap tertinggi kerajaan Jepun berkata, kerajaan akan mengambil ‘langkah yang belum pernah dilakukan sebelum ini’ untuk menangani penurunan kadar kelahiran, seperti memperluaskan penjagaan kanak-kanak dan mempromosikan kenaikan gaji untuk pekerja lebih muda.
Ketua Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi berkata, kadar kelahiran menurun dalam keadaan kritikal.
“Dalam tempoh enam tahun akan datang atau sehingga 2030, apabila bilangan orang muda menurun dengan cepat, ia menjadi peluang terakhir untuk membaiki keadaan itu,” katanya kepada pemberita.
Menyedari potensi kesan sosial dan ekonomi, dan tekanan terhadap kewangan awam, Perdana Menteri Fumio Kishida menggelar trend itu sebagai ‘krisis paling teruk’ yang dihadapi negara dan mengambil pelbagai langkah untuk mendorong setiap keluarga di negara itu memiliki anak, lewat tahun lalu.
Penduduk Jepun mungkin akan berkurangan kira-kira 30 peratus kepada 87 juta menjelang 2070, dengan empat daripada setiap 10 orang berusia 65 tahun ke atas, menurut anggaran Institut Penyelidikan Penduduk dan Keselamatan Sosial Kebangsaan. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV