IDAHO: Proses menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang banduan berusia 73 tahun di Amerika Syarikat (AS) gagal selepas pihak berkuasa berulang kali tidak dapat menemui urat yang sesuai untuk suntikan mautnya, semalam.
Pengarah Jabatan Pembetulan Idaho, Josh Tewalt, berkata usaha sekurang-kurangnya lapan kali dilakukan untuk mencari urat intravena sesuai bagi suntikan maut pada badan Thomas Eugene Creech, seorang pembunuh bersiri yang disabitkan bersalah dan dipenjarakan sejak 1974.
“Selama hampir sejam, mereka cuba mencari urat di beberapa bahagian anggota badan selepas mengikat Creech,” katanya yang terpaksa menghantar Creech kembali ke penjaranya.
Sementara itu, beberapa jam selepas Mahkamah Agung AS menolak petisyen Creech untuk penangguhan pelaksanaan hukuman mati, Institusi Keselamatan Maksimum Idaho, berkata ia ditangguhkan kerana isu berkaitan dengan kualiti urat.
Antara lain, peguam Creech berhujah, kerahsiaan protokol suntikan maut menjadikannya mustahil baginya untuk menimbang sama ada negeri itu melanggar larangan Perlembagaan terhadap hukuman yang kejam dan luar biasa itu.
Beberapa negeri di AS yang menjalankan hukuman mati turut menghadapi masalah sama iaitu mencari urat pada badan tahanan berusia, mempunyai berat badan berlebihan atau bergelut untuk mencari ubat yang diperlukan.
Ini mendorong penggubal undang-undang negeri untuk menghidupkan semula kaedah lama, seperti hukuman ditembak mati skuad penembak atau mewujudkan hukuman baharu, seperti Alabama yang menggunakan nitrogen untuk menyebabkan kematian banduan dengan mengakibatkan sesak nafas.
Idaho merancang untuk membiarkan waran kematian Creech tamat, bagaimanapun Tewalt menyatakan tidak jelas sama ada negeri itu akan memohon waran baharu selepas itu.
Menurut Perkhidmatan Pertahanan Persekutuan Idaho, dilema seumpamanya berlaku apabila individu yang tidak dikenali atau tanpa latihan yang bersesuaian ditugaskan untuk melaksanakan hukuman mati.
“Inilah jenis kemalangan yang sudah pun kami kami beri amaran boleh berlaku apabila mahkamah cuba menjatuhkan hukuman mati kepada antara banduan tertua di negara ini.
“Walaupun banyak yang cuba dirahsiakan, kita tahu bahawa banduan terbabit mempunyai sejarah mendapatkan bekalan dadah secara haram meskipun di dalam penjara,”katanya.
Creech disabitkan bersalah membunuh lima orang pada 1970-an sebelum dipenjarakan dan kemudian dijatuhi hukuman mati oleh hakim selepas membunuh banduan lain, David Jensen, di kemudahan keselamatan maksimum di mana dia ditahan.- REUTERS, BH Online –
IMedikel TV