YUSOF HASLAM ENGGAN KOMEN LANJUT URUSAN CERAI SYAMSUL DAN IRA

YUSOF HASLAM ENGGAN KOMEN LANJUT URUSAN CERAI SYAMSUL DAN IRA

KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam, 70, mengambil pendekatan tidak mahu lagi memberi komen terhadap urusan fail cerai anaknya, Syamsul Yusof, 40, yang akan didengarkan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, esok.

Yusof atau nama sebenarnya, Mohd Yusof Md Haslam Khan memohon maaf kerana enggan turut campur dalam kemelut rumah tangga Syamsul yang kini hangat diperkatakan dan begitu menjadi perhatian di media sosial.

“Maaf, saya tidak mahu komen,” katanya ringkas kepada Harian Metro menerusi kiriman mesej di WhatsApp ketika ditanya mengenai harapan terhadap kes tuntutan fail cerai Syamsul dan isterinya, Ira Kazar.

Yusof dalam temubual bersama media sebelum ini berkata, dia terkejut apabila dihubungi wartawan dan bertanya mengenai tindakan fail cerai dibuat oleh Syamsul pada 19 Ogos lalu.

“Memang saya terkejut, tapi apa juga yang terjadi, saya doakan yang terbaik untuk semua pihak. Jangan kata saya tepuk tangan. Demi Allah, tiada niat dan saya pun tidak tahu perkara ini berlaku,” katanya.

Sebelum ini, Yusof juga memaklumkan dia sekeluarga sudah lama terputus hubungan dengan Syamsul, selain tidak mengetahui perkembangan terkini anaknya itu.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Peguam Syarie yang mewakili Syamsul iaitu Azmi Rais sudah mengesahkan tindakan anak guamnya itu yang memfailkan cerai terhadap Ira di mahkamah atas alasan sudah tiada persefahaman.

Sebelum ini, Syamsul dan Ira atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin yang juga anak kepada pelakon ‘otai’, Kazar Saisi, bernikah di Selatan Thailand pada 6 Januari tahun lalu.

Susulan itu, pelakon Puteri Sarah, 39, yang juga isteri pertama Syamsul ketika itu nekad memfailkan perceraian dan mereka akhirnya sah bercerai talak satu pada 14 Jun tahun lalu. Mereka juga dikurniakan dua cahaya mata. – Hmetro Online –

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *