KUALA LUMPUR: Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah menjadi satu-satunya penyanyi veteran yang berjaya membolosi kategori Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36.
Jamal, 65, yang popular menerusi lagu Ghazal Untuk Rabiah berdepan saingan sengit daripada penyanyi hebat lain seperti Joe Flizzow, Faizal Tahir, Hafiz Suip, Yonnyboii, Naim Daniel, Zynn Nakal dan Amir Masdi.
Turut dicalonkan, Afieq Shazwan, Aliff Aziz, Aizat Amdan, Alyph, Hael Hussaini, Haqiem Rusly, Khai Bahar, Sufian Suhaimi, Haziq Rosebi, Malique, Syamel dan Amir Jahari.
Ternyata penyanyi berasal dari Teluk Intan, Perak itu masih lagi relevan apabila mampu bersaing dengan generasi baharu dunia nyanyian.
Menyerahkan kemenangan kepada rezeki, Jamal mengakui bersyukur menembusi pencalonan memandangkan sudah agak lama namanya tidak dicalonkan.
“Saya terharu dengan pencalonan ini dan ingin berterima kasih kepada penganjur, Berita Harian kerana mencalonkan nama saya.
“Tidak dilupakan ribuan terima kasih buat peminat atas sokongan diberikan sepanjang berada dalam industri muzik,” katanya kepada BH Online.
Sebelum ini, Jamal pernah menggenggam trofi Penyanyi Lelaki Popular pada 1993, menewaskan Datuk Nash, Hasnol, Rahmat dan Allahyarham Saleem.
Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, ABPBH 36 mengangkat tema Teguh membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia.
ABPBH 36 diinspirasikan CONBOO sebagai penaja utama.
Mempertandingkan 16 kategori utama, pemilihan artis dan selebriti kegemaran boleh dilakukan 30 September depan menerusi laman web ABPBH 36 di www.abpbh.com.my.
Undian bagi kategori sampingan, Ekstra! akan bermula pada Khamis ini. – BH Online –
IMedikel TV