PENIAGA DITAHAN JUAL MINYAK MASAK BERSUBSIDI SECARA ATAS TALIAN

PENIAGA DITAHAN JUAL MINYAK MASAK BERSUBSIDI SECARA ATAS TALIAN

KOTA BHARU: Seorang lelaki tempatan berusia awal 50-an ditahan pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dalam Operasi Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan, di sini, kira-kira jam 12.00 malam pada Ahad.

Lelaki terbabit mengaku sebagai penjual minyak masak bersubsidi.

Suspek kemudian membawa pasukan ke sebuah premis kedai runcit miliknya di Jalan Bayam, di sini, untuk pemeriksaan lanjut berkaitan perlesenan.

Pemeriksaan mendapati suspek mempunyai lesen perniagaan runcit barang kawalan yang masih sah sehingga 26 Februari 2026, namun lokasi penjualan tidak berkaitan dengan alamat yang didaftarkan.

Pasukan operasi kemudian bertindak melakukan serbuan di alamat yang ditetapkan dan menemukan 10 kotak minyak masak paket bersubsidi seberat 170 kilogram yang telah selesai urusan jual beli dan telah selesai pemunggahan dimasukkan kepada kenderaan seorang pembeli.

Kesalahan yang disyaki dilakukan oleh suspek adalah di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu menjalankan perniagaan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan dan menjual melebihi harga kawalan yang ditetapkan serta tidak menyelenggara buku stok barang kawalan.

Sebagai tindakan lanjut, pasukan operasi telah menyita minyak masak bersubsidi tersebut serta dokumentasi berkaitan dan menahan suspek untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Operasi itu hasil daripada aduan awam berkenaan kegiatan penjualan barang kawalan bersubsidi secara atas talian yang melibatkan minyak masak paket 1kg melebihi harga yang ditetapkan.

Berdasarkan aduan, satu akaun media sosial mengiklan jualan minyak masak bersubsidi atas talian, seterusnya akan melakukan transaksi pembelian secara atas talian, termasuk pembayaran deposit, sebelum menentukan lokasi pengambilan minyak masak bersubsidi tersebut.

Penjual atau pemilik akaun media sosial tersebut menetapkan harga RM 5.00 bagi sekilogram minyak masak, yang melanggar harga kawalan RM 2.50 sekilogram yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

KPDN Kelantan menggesa orang ramai untuk menyalurkan aduan jika terdapat sebarang aktiviti manipulasi harga oleh peniaga.

Para peniaga juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan, termasuk menetapkan harga jualan yang ditetapkan kerajaan dan memastikan bekalan mencukupi demi menjaga keharmonian perdagangan antara pengguna serta peniaga. – KPDN –

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *