CERITA ‘BUSUK’ BANYAK MAKNA

CERITA ‘BUSUK’ BANYAK MAKNA

SERING tampil dengan kelainan, pengarah, Areel Abu Bakar sekali lagi hadir dengan buah tangan terbaharu, sebuah filem aksi berjudul Pungut.

Areel yang sebelum ini pernah mengarahkan beberapa naskhah seperti Geran dan Walid, hadir dengan satu lagi idea menarik mengetengahkan isu yang boleh dirumuskan sebagai tersirat menerusi karya baharu ini.

“Karya ini dihasilkan ketika zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ideanya muncul apabila kita diperintahkan berkurung di rumah. Dari situ, saya melihat pelbagai berita mengenai kesusahan masyarakat.

“Kebetulan, waktu itu, saya berada di Langkawi dan penggambaran sudah dibenarkan mengikut prosedur yang ditetapkan kerajaan.

“Jadi, banyak kejadian yang saya lihat di dalam persekitaran saya, saya cuba masukkan ke dalam filem ini. Semua kejadian itu berlaku secara sambil lalu dalam kehidupan dan saya cuba sampaikan dalam bentuk filem,” katanya.

Penggambaran yang dilakukan di tapak pelupusan sampah di Langkawi menjadi cabaran baharu buat pasukan produksi dan pelakon-pelakonnya.

“Walaupun tempat itu dianggap tempat yang berbau busuk, tapi, perlu diingat, lokasi begitu mungkin ada kebaikan bagi sekelompok orang yang lain dan ada kesempatan yang boleh diambil dari situ,” katanya.

Ditanya mengenai maksud tersirat yang boleh dikupas menerusi filem itu, Areel berkata, setiap watak dalam filem itu adalah simbolik kepada sesiapa sahaja.

“Boleh jadi sesiapa sahaja. Mungkin AJK kampung, orang masjid, ahli dewan, ahli parlimen. Sesiapa sahaja. Kalau ada orang yang boleh ‘membaca’ maksud yang saya nak sampaikan, saya gembira,” katanya.

Bagi pelakon, Yusran Hashim yang memegang watak sebagai Baha, dia perlu meletakkan dirinya supaya selesa dengan persekitaran di set penggambaran.

“Saya perlu hadirkan keselesaan yang paling tinggi di situ. Sebab apa pun tempat itu, watak Baha perlu sentiasa hadir sebagai seorang yang tenang sebab itu adalah dunia dia.

“Sebagai pelakon, saya sendiri melakukan kajian sendiri dengan turun ke tapak pelupusan sampah dan lihat sendiri situasi di situ,” katanya.

Bagi pelakon veteran, Ruzaidi Abdul Rahman, bekerja dengan Areel umpama peluang untuknya berkarya.

“Areel beri kebebasan, tapi, pada masa sama dia kawal juga supaya saya tak lari daripada watak yang ada dalam visinya. Tapi, saya pun turut berikan cadangan kalau ada beberapa babak aksi yang saya rasakan canggung,” katanya.

Filem Pungut akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula esok. – HMetro Online –

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *