SEMBILAN PREMIS MAKANAN DI KOTA BHARU DIARAHKAN TUTUP

SEMBILAN PREMIS MAKANAN DI KOTA BHARU DIARAHKAN TUTUP

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Sembilan premis makanan di sini diarahkan untuk ditutup selama 14 hari oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), pada Selasa.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin dalam satu kenyataan berkata, penutupan premis itu dilakukan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.

“Arahan tersebut susulan Operasi Bersepadu Premis Bersih itu terhadap 53 buah premis makanan di sekitar bandar itu memandangkan ianya menjadi tempat tumpuan ramai.

“Pemilik premis makanan yang tidak mematuhi peraturan itu boleh disabitkan kesalahan dan dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima (5) tahun atau denda atau kedua – duanya,” katanya.

Dr Zaini berkata, pihaknya sentiasa peka akan isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan khusunya tahap kebersihan premis tersebut.

“Sebanyak 160 Notis Seksyen 32B, Memerintahkan Kehadiran di Mahkamah telah dikeluarkan oleh JKNK kepada pemilik premis dan pengendali makanan.

“Daripada notis tersebut, kesalahan paling banyak dikesan adalah berkaitan pakaian pengendali makanan iaitu 129 notis,” katanya.

Beliau berkata kesalahan lain dikesan adalah berkaitan kebersihan diri pengendali makanan, tidak mendaftarkan premis makanan dan tidak mematuhi kehendak berhubungan dengan penyimpanan makanan, dan tidak mematuhi kehendak berhubungan dengan kewajipan untuk mengekalkan premis makanan bersih.

Bagaimanapun, jelasnya kesemua notis Seksyen 32B itu boleh dibayar kompaun dalam tempoh masa satu bulan dari tarikh notis dikeluarkan.

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *