SIMEONE KECEWA JENTERA SERANGAN TUMPUL

SIMEONE KECEWA JENTERA SERANGAN TUMPUL

MADRID: Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone berkata ketumpulan jentera serangannya menyebabkan mereka sekadar seri 0-0 menentang Espanyol dalam saingan La Liga.

Atletico mempunyai 25 percubaan dan tujuh daripadanya tepat ke arah gawang, tetapi pertahanan Espanyol berjaya menafikan peluang tuan rumah dengan penjaga gol, Joan Garcia menyelamatkan tujuh percubaan tepat anak buah Simeone.

“Ia merisaukan saya, seperti selalu, tetapi saya tidak boleh menafikan persembahan baik pasukan apabila mencipta lima peluang keemasan di depan gol.

“Ia tidak berjaya disempurnakan, tetapi peluang yang dicipta adalah hasil permainan yang baik, bukan nasib semata-mata.

“Kami menjangkakan kemenangan, tetapi mereka bertahan dengan baik dan kami pula tidak cukup meyakinkan. Jika tidak menjaringkan gol, ia memang sukar.

“Pasukan bermain dengan baik, mereka bermula garang di babak pertama. Kemudian sedikit merosot, sebab itu saya melakukan pertukaran. Di babak kedua, kami tidak mencipta banyak peluang tetapi bermain baik,” kata Simeone.

Atletico tercicir mata buat pertama kali musim ini manakala Espanyol kendalian Manolo Gonzalez mengutip mata pertama mereka.

“Saya rasa bola sepak tidak adil kepada kami sebelum ini. Mata ini sangat penting kerana ia memberikan anda keyakinan di padang seperti ini.

“Jika anda mampu beraksi di sini, anda boleh melakukannya di mana-mana. Kami tidak bertahan dengan baik di babak pertama dan mungkin akan tewas. Kami berjaya bertahan dan ia memberikan kami kekuatan,” kata Gonzalez. – REUTERS

IMedikelTV.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *