PAIP LAMA SEPANJANG 1,050KM DI KELANTAN AKAN SEGERA DIPERBAIKI

PAIP LAMA SEPANJANG 1,050KM DI KELANTAN AKAN SEGERA DIPERBAIKI

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Paip lama yang rosak dan bocor sepanjang 1,050 kilometer (km) di negeri Kelantan akan segera diperbaiki menerusi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, proses penggantian paip lama itu menelan kos melebihi RM1 bilion.

“Kerajaan Kelantan bersama AKSB mendapati 4,000km paip lama di negeri ini mengalami kerosakan yang menyebabkan air tidak sampai kepada pengguna sebanyak lebih 50 peratus.

“Namun, daripada jarak tersebut, 1,050km paip perlu segera diggantikan dalam tempoh terdekat kerana sudah tidak mampu menampung tekanan air yang disalurkan dari loji rawatan air (LRA) di seluruh negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan LRA Jelawat, di sini, hari ini.

Menurut beliau, setakat ini, kerja penggantian paip tersebut sudah mencapai 231km menerusi Program Penukaran Paip Uzur dan Lama melalui pembiayaan daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berjumlah RM218 juta.

Tambahnya, pihak AKSB mula melakukan kerja penggantian itu sejak dua tahun lepas yang melibatkan daerah Kota Bharu, Bachok, Tumpat, Pasir Mas dan Tanah Merah.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air & Pembangunan Luar Bandar negeri Kelantan, Saizol Ismail, Ahli Parlimen Bachok, Shahir Che Sulaiman, Pengurus Besar AKSB, Izani Ismail, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Wan Husni Wan Osman.

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *