JKDM RAMPAS PRODUK KOSMETIK TIMBANG KILO BERNILAI RM600,000

JKDM RAMPAS PRODUK KOSMETIK TIMBANG KILO BERNILAI RM600,000

TUMPAT: Seorang lelaki ditahan bersama kosmetik timbang kilo bernilai RM624,994.70 termasuk cukai selepas serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan di sebuah rumah terbiar di Kampung Bunohan pada 18 Ogos lalu.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan itu dilakukan Pasukan Marin Kastam Penguatkuasa Pengkalan Kubor, JKDM Kelantan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) pada pukul 3 petang selepas intipan selama dua minggu.

Katanya, hasil serbuan itu, seorang lelaki berusia 20-an ditahan.

“Rumah terbiat itu dijadikan stor untuk menyimpan kosmetik yang diseludup dari negara jiran.

“Hasil pemeriksaan di stor tersebut menemui kosmetik seperti krim muka, sabun, serum bernilai RM568,177 dan cukainya sebanyak RM56,817.50 ,” katanya dalam sidang media di JKDM Penguatkuasa Pengkalan Kubor di sini pada Khamis.

Wan Jamal Abdul Salam berkata, ini rampasan terbesar tahun ini dengan mondus operandi membawa masuk barangan kosmetik tersebut dari negara jiran menyeberangi sungai Golok dengan bot dan ada individu menunggu di pangkalan haram.

“Kosmetik tersebut mendarat di pangkalan haram dan kemudian dipunggah dengan kereta untuk disimpan di dalam stor tersebut.

‘Kemudiannya kosmetik tersebut diedarkan ke kilang-kilang seluruh Malaysia untuk pembungkusan,” katanya.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu dengan disediakan melindungi, menyimpan, menyembunyi atau mempunyai dalam milikannya apa-apa barang-barang tak berkastam atau barang larangan.

“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar.

“Atau boleh juga dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,” katanya.

JKDM menasihatkan kepada orang awam agar lebih berhari-hati dalam membeli produk kosmetik timbang kilo yang bukan sahaja merugikan negara malah turut mendatangkan risiko kepada kesihatan.

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *