Siapa yang tidak kenal Mohd Ali Ismail atau lebih sinonim dengan panggilan Ali Terra Rossa atau kini melekat dengan gelaran Ali XPDC Militia.
Peminat industri seni tanah air juga sudah maklum, penyanyi berusia 56 tahun itu kini berdepan situasi kesihatan antaranya angin ahmar, masalah jantung dan beberapa penyakit lain.
Keadaan ini menyukarkan Ali untuk aktif menyanyi dan perlu berehat sehingga benar-benar sembuh, manakala tempatnya sebagai vokalis XPDC Militia kini diambil alih sementara oleh Zul Fazli atau Mamu.
Meskipun tabah dengan ujian yang menimpanya, apa yang berlaku sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan seharian Ali terutama pendapatan keluarga.
Justeru, atas semangat setiakawan dan prihatin, sahabat seperjuangan Ali terpanggil untuk meringankan sedikit sebanyak bebanannya dengan menganjurkan Konsert Amal Ali Terra Rossa.
Konsert ini akan berlangsung pada 28 September ini di Warisan Hall Studio, Sijangkang, Selangor.
Konsert ini diilhamkan oleh sahabat lama Ali, yang juga pemain dram kumpulan pertama Ali bernama Kid Power iaitu Fuad Syahrin, sementara Attah Music dengan kerjasama Mentari Merah Entertainment bertindak selaku penganjur.
Fuad berkata, konsert yang menggunakan modal mereka sendiri sememangnya dianjurkan bertujuan membantu Ali sepenuhnya.
“Ia menampilkan barisan artis antaranya kumpulan Terra Rossa, Aju Success, Hatta & RockapaK Band, Korie dan Kroll dengan iringan band Cherish 2000.
“Turut tampil memeriahkan suasana ialah penampilan khas legenda muzik tanah air Datuk Nash dan Datuk Malek Ridzuan.
“Antara lagu yang akan dibawa nanti termasuk daripada album Terra Rossa seperti Bunga Angkasa, Gering, Kehendaknya, Ratapan Memori Usang, Parasit Cinta Di Sula serta daripada album solo Ali antaranya Kasih,” katanya.
Lagu lain pula antaranya yang selalu dimainkan Ali dan Terra Rossa semasa ‘jamming’ ketika awal penubuhan kumpulan itu.
“Kumpulan pertama Ali ialah Witness dan lagu yang sering dinyanyikan ialah lagu Search, Scorpions, Wings dan Iron Maiden. Nash, Malek Ridzuan dan artis lain pula akan mendendangkan satu atau dua lagu daripada album masing-masing.
“Untuk sumbangan kepada Ali, kami harapkan jualan tiket yang menggalakkan daripada peminat untuk sama-sama menyumbang.
“Kami juga sedang cuba mendapatkan sumbangan tajaan untuk diserahkan kepada Ali serta wang tajaan ini juga digunakan untuk membayar dewan persembahan dan kru yang terbabit,” katanya yang mengalu-alukan mana-mana pihak untuk menghubunginya sekira berminat menaja. – HMetro Online –
IMedikel TV