Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan membuat kelainan untuk menyambut Bulan Kebangsaan tahun ini.
Pengarahnya, Mohd Nor Aswadi Md Nor berkata penglibatan sebanyak 67 kenderaan air digunakan sepanjang sambutan itu.
“Kebiasannya JaPen mengadakan Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang mana melibatkan kenderaan darat, tetapi pada kali ini, terdapat kelainan juga penglibatan kenderaan air iaitu 67 bot dan perahu nelayan menelusuri Sungai Kelantan dari Tambatan Diraja hingga ke Kampung Laut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jiwa Komuniti MADANI @Hari Malaysia melibatkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pantai Irama di sini, pada Sabtu.
Katanya pihak JaPen turut menggerakkan 135 komuniti MADANI di Kelantan sebagai tanda semangat patriotik menerusi Kempen Cinta Negara sepanjang Bulan Kebangsaan ini.
Katanya pelaksanaan kempen tersebut menunjukkan tahap kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan rakyat di negeri ini.
“Saya lihat kecenderungan rakyat di Kelantan mengibar Jalur Gemilang termasuk di jalan utama, kenderaan, rumah serta premis perniagaan semakin bertambah berbanding tahun lepas.
“Di jalan utama ramai yang mengibarkan Jalur Gemilang seiring dengan kempen inisiatif satu rumah satu Jalur Gemilang,” katanya.
Mohd Nor Aswadi berkata, bagi memperkasakan semangat cintakan negara, pihaknya turut melibatkan 81 daerah menerusi Kelab Malaysiaku.
“Di peringkat sekolah pula, turut disertai pelajar, termasuk guru serta kakitangan sekolah selain sedikit peruntukan diberikan bagi membolehkan mereka mengadakan program di peringkat masing-masing,” katanya.
Katanya, program itu bermula sepanjang Bulan Kebangsaan dan bakal berakhir pada 16 September ini.
IMedikel TV