RIBUAN RAKYAT MEXICO BANTAH ROMBAKAN KAEDAH PEMILIHAN HAKIM

RIBUAN RAKYAT MEXICO BANTAH ROMBAKAN KAEDAH PEMILIHAN HAKIM

MEXICO: Ribuan rakyat Mexico, terutama kakitangan mahkamah dan pelajar undang-undang, membantah cadangan pembaharuan badan kehakiman di mana pemilihan hakim akan ditentukan melalui undi orang ramai.

Mereka berkumpul di Bandar Mexico ketika Senat mula membahaskan inisiatif yang didorong oleh Presiden Andres Manuel Lopez Obrador.

Rombakan berkenaan sudah diluluskan oleh Dewan Rakyat, di mana parti pemerintah mempunyai pengaruh.

Cadangan pembaharuan itu, yang membabitkan pemilihan hakim Mahkamah Agung, tribunal dan majistret, mencetuskan ketegangan diplomatik dengan Amerika Syarikat (AS) sehingga mengundang protes daripada pihak yang menentang dan mengganggu pasaran kewangan.

“Badan kehakiman tidak akan tumbang,” laung penunjuk perasaan yang berarak ke arah Senat, yang dijangka mengundi cadangan itu pada Rabu ini.

Pekerja kehakiman yang mogok meminta Mahkamah Agung untuk campur tangan dalam hal itu, bagaimanapun Lopez Obrador berpendapat tindakan itu tidak mempunyai asas undang-undang.

Dalam satu kenyataan, Ketua Hakim Mahkamah Agung, Norma Pina, dilihat mengkritik cadangan pembaharuan berkenaan semalam, walaupun beliau tidak menyebutnya secara khusus, dengan mengatakan bahawa Mexico berisiko mengalami ‘kemusnahan badan kehakiman’.

Pina pada minggu lalu berkata mahkamah akan membincangkan sama ada ia mempunyai bidang kuasa untuk menghentikan pembaharuan berkenaan.

Dalam kenyataan yang disiarkan di media sosial semalam, Pina mengemukakan dua cadangan alternatif dan menggesa Lopez Obrador serta Kongres untuk mendengar pandangan rakyat Mexico mengenai pembaharuan itu.

“Hari ini ia masih boleh dilakukan. Kita boleh mengubah keadaan,” kata Pina.

AS yang juga rakan dagang utama Mexico, memberi amaran bahawa pembaharuan berkenaan akan mengancam hubungan yang bergantung kepada keyakinan pelabur terhadap kerangka undang-undang Mexico.

Lopez Obrador yang akan digantikan oleh sekutunya Claudia Sheinbaum pada 1 Oktober ini berhujah bahawa perubahan itu wajar kerana mahkamah pada masa ini melayani kepentingan politik dan ekonomi. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *