TENTERA DISYAKI BUNUH 20 AKTIVIS POLITIK DI CONGO

TENTERA DISYAKI BUNUH 20 AKTIVIS POLITIK DI CONGO

Sekurang-kurangnya 20 aktivis politik dibunuh di bandar Lubumbashi di tenggara Congo, dedah Pertubuhan Keamanan dan Keselamatan Awam (PKKA) semalam.

Mereka mendakwa penyerang tidak diketahui identiti itu mungkin adalah anggota tentera kerana berpakaian celoreng ketika melancarkan serangan.

“Beberapa komando… membunuh lebih 25 orang, sesetengahnya terkena peluru dan yang lain mati lemas,” kata Bertin Tchoz, ketua PKKA di daerah Haut-Katanga, yang mana Lubumbashi adalah ibu kotanya.

Mangsanya pula adalah ahli Kesatuan Kebangsaan Persekutuan Congo (UNAFEC).

Presiden UNAFEC, Jean Umba Lungange, mendakwa serangan berlaku pada Jumaat lalu, membabitkan orang berpakaian seragam tentera yang dibawa oleh orang awam.

“Mereka menemui anak muda anggota UNAFEC di lokasi di mana mereka selalu mengadakan pertemuan dan melepaskan tembakan.

“Sebahagian mereka ditembak dan yang lain lemas dalam Sungai Naviundu berhampiran ketika cuba melarikan diri.

“Kami ditinggalkan dengan 21 mayat ketika ini,” katanya sambil menambah terdapat orang masih hilang.

Jurucakap tentera di wilayah itu memberitahu AFP bahawa dia tidak mengetahui peristiwa itu kerana tiada parti parti politik merujuk perkara itu kepada tentera.

Selepas penemuan lima mayat di Sungai Naviundu pada Isnin lalu, Datuk Bandar, Martin Kazembe, mengarahkan siasatan dijalankan untuk menentukan pihak mendalangi perbuatan itu.

Mengenai UNAFEC, ia menganggotai kumpulan Kesatuan Suci Negara, yang ditubuhkan oleh Presiden Felix Tshisekedi, namun berpecah kerana perkelahian dalaman sejak pengasasnya, Gabriel Kyungu wa Kumwanza, meninggal dunia pada 2021.

Isnin lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan berlaku lonjakan serangan di timur Congo sehingga meragut lebih 700 nyawa di tangan pejuang militia sejak Disember lalu.

Kumpulan pemberontak menguasai timur Congo sejak beberapa dekad, yang mana kebanyakan anggotanya adalah legasi perang serantau yang memuncak sekitar 1990 dan awal 2000.

Sumber: BH Online & AFP

– Imedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *