Di sebalik dua kemenangan berturut turut yang dilakar ke atas Turkmenistan dan Hong Kong bagi menutup jendela antarabangsa kali ini dengan nada positif, masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki Harimau Malaya bagi aksi yang lebih mantap.
Pemerhati bola sepak tempatan, Fauzi Pilus menyifatkan anak buah Kim Pan Gon bermain dengan baik dan banyak peningkatan daripada setiap sudut sekalipun ada eksperimen dilakukan dengan beberapa kombinasi supaya ‘masuk’ dengan falsafah diterapkan.
“Dengan eksperimen dan pemain baharu, pasukan akan dapat tahap kompetitif yang tinggi antara pemain dan secara tidak langsung memberi impak kepada liga kerana pemain sentiasa memberi persembahan terbaik.
“Dengan hasrat memancing minat Pan Gon, sudah tentu pemain akan menjaga konsistensi setiap kali beraksi,” kata Fauzi.
Namun bekas Pengarah Teknikal dan jurulatih PDRM FC itu mengakui corak permainan atau ‘game play’ menjadi persoalan dan kurang memuaskan di mana ‘lubuk’ ketara skuad kebangsaan tertumpu di bahagian tengah.
“Bahagian tengah kurang impak untuk memberi ruang, menyusun dan mencipta idea untuk menjaringkan gol. Kita terlalu bergantung pada ‘direct play’ terus ke penyerang.
“Bahagian tengah mudah kehilangan bola, mungkin terlalu cepat atau tergesa gesa dan tidak melakukan keputusan yang tepat selain ‘recovery block’ agak lambat. Mungkin juga atas faktor keserasian pemain dan kecergasan di bulan Ramadhan.
“Namun, apabila Malaysia hilang bola, kita lihat tindakan segera dengan melakukan ‘high pressing’ untuk dapatkan bola seterusnya mencipta transisi menyerang dan menjaringkan gol,” katanya.
Mengulas lanjut aksi skuad kebangsaan, Fauzi mengakui sikap dan tindakan pemain sangat positif dengan bahagian sayap skuad negara begitu menyerlah dalam dua aksi persahabatan ini.
“Wide area’ kita sangat efektif dan berfungsi dengan baik dan sebab itulah kita lihat banyak gerakan positif menerusi sebelah tepi. Pertahanan dan penjaga gol juga mantap dalam tugasan ketika bertahan.
“Ini juga dibantu dengan ‘winning behaviour’ dalam kalangan pemain. Ini aspek yang ditanam Pan Gon setiap kali beraksi di laman sendiri,” katanya.
Sumber: BH Online
– Imedikel TV