KOTA KINABALU: DAP Pusat menyerahkan sepenuhnya kepada DAP Sabah untuk membuat keputusan berkenaan jumlah kerusi yang bakal ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata beliau difahamkan perbincangan mengenai pembahagian kerusi PRN17 Sabah belum bermula.
“Saya akan serahkan kepada kepimpinan tertinggi DAP Sabah untuk berunding dan berbincang bersama rakan sekutu dalam gabungan. Perundingan mengenai pembahagian kerusi belum bermula lagi.
“Jadi saya fikir masih terlalu awal untuk bercakap mengenai rundingan pembahagian kerusi. Sudah tentu kita akan fokus dengan kerja kita dalam kerajaan. Tetapi persediaan untuk pilihan raya harus bermula secepat mungkin,” katanya selepas perasmian Konvensyen Biasa DAP Sabah 2024, semalam.
Rebut kembali DUN Sri Tanjong, Elopura
Mengulas lanjut, Loke berkata beliau menggesa DAP Sabah untuk merebut kembali dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Sri Tanjong dan Elopura.
“Seperti yang saya sebutkan (ketika berucap), dua ADUN kita telah meninggalkan parti. Jadi misi kita seterusnya adalah merebut kembali dua kerusi itu dalam PRN akan datang.
Sebelum ini, dilaporkan dua ADUN DAP Sabah iaitu ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin dan ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun mengumumkan menyertai Parti Warisan (WARISAN).
Ini menjadikan DAP Sabah tinggal dengan empat kerusi membabitkan kawasan DUN Luyang, Kapayan, Likas dan Tanjung Papat. – BH Online –
IMedikel TV