KE mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Peribahasa ini sangat tepat apabila dikaitkan dengan kemunculan penyanyi nasyid kontemporari generasi baharu, Putra Aiman dan Haikal Iman.
Apa tidaknya, mereka adalah putera kepada legenda nasyid Munif Hijjaz yang dikenali dengan vokal merdu serta menggetarkan perasaan.
Putra Aiman, 24, dan Haikal, 22, kini tampil dengan melodi lagu yang membuai perasaan bersama lirik yang penuh bermakna menerusi single berjudul Perjalanan.
“Syukur lagu ini menjadi percaturan buat kami melangkah masuk di pentas industri nasyid tanah air dan diterima baik oleh pendengar. Ia satu kelebihan kepada kami.
“Bertambah menarik apabila muzik video yang sarat dengan nasihat dan pengajaran dihasilkan dan ia sangat membantu kami apabila kini sudah meraih lebih 14 ribu tontonan di YouTube.
“Rata-rata pendengar menyatakan keterujaan dengan karya terbaharu ayah kami. Malah tak keterlaluan ada pendengar turut membandingkan suara kami yang dikatakan mirip suara ayah pada usia mudanya,” kata mereka.
Ternyata, apa yang dikatakan ada kebenarannya kerana sebelum bersama Hijjaz, Munif adalah pengemudi kumpulan nasyid Nada Murni sejak beberapa dekad dahulu.
Kombinasi pasangan adik-beradik ini tidak perlu dipertikaikan kerana sangat serasi dan cukup kuat untuk membentuk lagu Perjalanan sebagai sebuah karya yang perlu diberikan perhatian.
Tidak terkecuali ia juga pasti akan mendapat liputan meluas dalam industri nasyid dan hiburan tanah air. Pendengar yang menikmatinya untuk kali pertama pasti terpesona.
“Bagi kami kekuatan lagu ini ialah kerana lantunan iramanya yang syahdu dan disulami dengan lantunan korus yang ‘catchy’ membuatkan ia terus melekat dan membuatkan sesiapa saja terpesona.
“Lantunan iramanya penuh syahdu dan disulami dengan elemen melankolik menjadi kekuatan tersendiri lagu ini,” kata mereka.
Putra Aiman dan Haikal Iman sememangnya menjiwai lagu-lagu nasyid sejak kecil kerana sering diletakkan sebagai penyanyi utama dalam persembahan-persembahan nasyid yang disertai sejak di bangku sekolah hinggalah ke menara gading.
Putra Aiman adalah bekas penuntut di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dalam jurusan Perniagaan Digital, manakala Haikal Iman baru selesai menamatkan pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam jurusan Pentadbiran Diplomatik.
“Kami sememangnya enggan bakat yang ada pada kami disia-siakan. Justeru kami ingin meneruskan legasi perjuangan yang dirintis ayah sejak dahulu dalam genre nasyid.
“Saya pernah tampil dengan single zikir di bawah kendalian Munif Hijjaz Pro pada tahun 2014,” kata Putra Aiman. – HMetro Online –
IMedikel TV