Tokyo, JEPUN: Jepun hari ini meluluskan undang-undang membenarkan reaktor nuklear beroperasi melebihi 60 tahun, sebagai usaha merancakkan semula sektor itu dalam memenuhi cabaran tenaga dan sasaran iklim.
Rang undang-undang itu berhasrat mewujudkan sistem bekalan elektrik yang akan mencapai masyarakat bebas karbon, seorang jurucakap Parlimen memberitahu AFP.
Di bawah peraturan baharu, had umur secara teknikal kekal 60 tahun tetapi pengecualian dibenarkan untuk reaktor yang terpaksa menghentikan operasi atas sebab “tidak dijangka”.
Ini mungkin termasuk perubahan kepada garis panduan keselamatan, atau injunksi sementara oleh mahkamah.
Peraturan baharu membenarkan pengendali mengecualikan tempoh penutupan apabila mengira jumlah tahun operasi.
Bagaimanapun, pengendali memerlukan kelulusan daripada badan pemerhati keselamatan nuklear Jepun untuk pengecualian itu, dan undang-undang itu juga termasuk langkah yang bertujuan mengukuhkan pemeriksaan keselamatan di reaktor lama.
Kerajaan mahu “memastikan bekalan elektrik yang stabil sambil menggalakkan penggunaan sumber elektrik bebas karbon,” menurut Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun dalam satu kenyataan.
Langkah itu dibuat ketika kerajaan Jepun berusaha menggiatkan semula sektor nuklear yang telah dimatikan selepas bencana Fukushima 2011 disebabkan tsunami. Kebanyakan reaktor nuklear Jepun masih tidak berfungsi hari ini, tetapi krisis tenaga global membuka semula perdebatan mengenai isu itu dan tinjauan pendapat menunjukkan pandangan umum mengenai kuasa nuklear semakin reda.
Sumber BH Online & AFP
Imedikel TV