Georgtown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyiasat dan mengambil tindakan bagi mengatasi masalah saliran dihadapi kira-kira 2,000 petani di Kampung Tok Pulau, Simpang Empat, Perlis dan Kampung Pida 15, Sanglang, Kedah.
Keadaan yang berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu, menyebabkan petani di kawasan berkenaan lewat memulakan kerja membajak dan menabur benih.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, petani juga mengalami kerugian kerana kerosakan tanaman padi akibat pengaliran air keluar masuk ke sawah mereka tersekat.
Katanya, tinjauan CAP mendapati sistem saliran sepanjang kira-kira enam kilometer yang dibina di kawasan itu tidak diselenggara dengan baik dan gagal berfungsi secara berkesan bagi kerja penanaman dan penuaian padi manakala sungai dan salirannya pula dipenuhi semak samun dan tidak dibersihkan.
“CAP memandang serius masalah yang dihadapi petani dan berharap pihak kementerian dan MADA menyiasat secara menyeluruh punca sebenar kejadian serta mengambil tindakan berkesan bagi mengatasinya.
“Kita bimbang jika masalah itu berlarutan, ia bukan sahaja menjejaskan kehidupan mereka tetapi juga bekalan makanan dan sektor pertanian negara pada masa akan datang,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, petani, Syed Mahadi Syed Salim, 52, berkata dia mengalami kerugian besar akibat kemusnahan pokok padi ketika musim menuai kerana air di dalam petak sawah tidak dapat keluar ke sungai berdekatan.
“Masalah ini sudah beberapa kali dikemukakan kepada pihak MADA tetapi tidak ada tindakan yang diambil,” katanya.
Bagi Nikon Anak Lelaki Pin, 40, pula berkata, sungai dan saliran di kawasan itu bukan sahaja dipenuhi semak samun tetapi juga semakin cetek.
Katanya, selain kerja pembersihan perlu dilakukan dengan lebih kerap, sungai dan saliran di kawasan itu juga perlu dikorek bagi membuang lumpur dan sisa mendapan di dalamnya.
“Kita cadangkan supaya kontraktor yang mengendali kerja pembersihan saliran dan sungai di sini tidak menyembur racun bagi tujuan itu kerana tindakan berkenaan menyebabkan sisa tumbuhan yang mati akan mendap didasarnya.
“Lama kelamaan ia akan menjadi cetek serta menjejaskan keperluan dan pengaliran air di kawasan ini,” katanya.
Sumber BH Online
Imedikel TV