BARANGAN PALESTIN HABIS TERJUAL TANDA SOLIDARITI

BARANGAN PALESTIN HABIS TERJUAL TANDA SOLIDARITI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah, Wartawan IMedikel TV

KOTA BHARU: Doa dan sumbangan adalah antara perkara utama dilakukan tanda solidariti kepada Palestin.

Semangat dan perjuangan yang ditunjukkan rakyat negeri ini kepada mereka adalah suatu yang perlu dibanggakan.

Bukan itu sahaja, penjualan mafla, bendera, pelekat, baju dan lain-lain berkaitan Palestin habis terjual.

Tinjauan team I Medikel TV di sekitar Kota Bharu mendapati para peniaga “diserang” orang ramai” untuk mendapatkan barangan tersebut.

Rata-rata peniaga berpuas hati dengan jualan mereka yang habis terjual.

Itu tanda sokongan kepada penduduk di Gaza yang sedang berperang dengan rejim Zionis.

Menurut peniaga, Nik Muhamad Khairul Mustafa, 32, dia tidak sangka sambutan luar biasa daripada rakyat Kelantan.

Antara barang yang dijual di kedainya termasuk mafla, bendera dan baju Palestin.

“Semua stok seperti mafla, bendera, baju yang diambil habis dijual dalam masa seminggu,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pasar Siti Khadijah, di sini, baru-baru ini.

Dia yang sudah lebih 10 tahun berniaga berkata, sebagai tanda sokongan kepada Palestin, selain berniaga barangan tersebut dia hanya mampu berdoa untuk mereka di sana.

“Apa yang saya sumbangkan untuk saudara di sana adalah doa, baca qunut nazilah, sembahyang, dan bagi derma untuk sampai ke sana.

Manakala Mat Yusuf Salleh, 72, berkata penjualan meningkat disebabkan banyak pihak mengadakan program untuk Palestin secara serentak.

Katanya dia hanya menjual mafla Palestin dan terjual hampir 100 helai.

Tambahnya sekiranya stok habis terjual, dia akan menempahnya dari kilang.

Sementara itu, Mohd Zamani, 51, berkata dia sentiasa menyokong Palestin walaupun bukan melalui peperangan.

“Kita di Malaysia memang agak jauh dari sana dan hanya mampu berdoa untuk mereka di sana.

“Saya memakai mafla untuk menunjukkan saya menyokong negara Palestin, rakyat Palestin,”katanya.

IMedikel TV


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *