Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) terus komited dan proaktif dalam usaha meningkatkan kutipan wakaf tunai Malaysia dan mengembangkan potensinya.
Ia bagi mendokong hasrat kerajaan untuk menjadikan wakaf sebagai salah satu elemen pemerkasaan ekonomi rakyat.
Menurut kenyataan media, selari dengan matlamat ini, YWM melaksanakan kerjasama strategik bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam mempertingkatkan kutipan wakaf tunai Malaysia serta membuka peluang dan ruang kepada masyarakat untuk turut serta mengimarahkan ibadah wakaf menerusi platform perbankan di BSN.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar menerusi ucapan berkata, kerajaan sentiasa cakna dan mengambil berat pembangunan wakaf di Malaysia dan itu terbukti apabila setiap sumbangan wakaf di bawah Skim Wakaf Tunai Malaysia YWM diletakkan di bawah projek berkepentingan nasional oleh Kementerian Kewangan yang membolehkan setiap pewakafan tunai melaluinya layak mendapat potongan cukai di bawah Seksyen 44 (11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Ia diikuti juga dengan perhatian yang diberikan oleh kerajaan terhadap wakaf dalam setiap pembentangan belanjawan negara dan rancangan Malaysia lima tahun.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran kerjasama strategik wakaf tunai Malaysia antara YWM dan BSN.
“Wakaf adalah sebahagian daripada komponen sektor kewangan sosial Islam dan jika diterokai potensinya melalui penglibatan semua masyarakat sama ada individu atau organisasi, wakaf bakal menjadi elemen terpenting dalam membangunkan ekonomi negara.
Kerjasama ini dilihat turut menyumbang kepada pengembangan dana wakaf yang bersifat mampan dan lestari.”
Menerusi jalinan kerjasama strategik antara YWM dan BSN ini, penyediaan kepelbagaian platform pewakafan oleh BSN seperti Ejen Bank BSN (Eb BSN), Jompay, ATM atau CDM, Perbankan Internet MyBSN, E-Biller dan melalui kaunter di cawangan BSN bakal memudahkan akses kepada setiap lapisan masyarakat tidak kira di bandar atau luar bandar untuk berwakaf.
Selain itu, dengan 3 langkah mudah sahaja, masyarakat juga boleh berwakaf menggunakan QR Duitnow BSN yang disediakan.
Setiap sumbangan wakaf terkumpul menerusi kerjasama ini akan ditukar kepada aset tetap (yang merupakan ‘AYN Wakaf) yang akan memberikan impak dan manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya. – SUMBER YWM –
IMedikel TV