BARCELONA: Barcelona bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan FC Porto 2-1 awal pagi tadi dan layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tiga musim, yang dianggap jurulatih Xavi sebagai “satu langkah penting” buat kelab itu.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Pemain sayap Brazil, Pepe meletakkan Porto di depan selepas setengah jam namun dua pemain Barcelona dari Portugal, Joao Cancelo (m-32) dan Joao Felix (m-57) menyumbat gol untuk membantu kemaraan mereka.
Kedua-dua bekas pemain Benfica itu menghukum musuh bekas kelab mereka bagi memastikan pasukan kendalian Xavi Hernandez tidak berdepan keaiban tersingkir di peringkat kumpulan seperti dua musim terakhir.
“Hari ini kami amat gembira, ia satu langkah penting dalam projek kami, ia amat positif buat kelab,” kata Xavi kepada wartawan.
Kekalahan di tangan Shakhtar Donetsk di Hamburg pada perlawanan terakhir mereka di Eropah membuatkan Barca gemuruh, dengan persembahan hambar dalam liga domestik menambah kebimbangan mereka.
Di sebalik dibolosi awal, Cancelo pantas menyamakan kedudukan dan dia mengumpan kepada Felix pada babak kedua untuk melengkapkan kemenangan yang menggembirakan penyokong Barca di Stadium Olimpik di kawasan bukit Montjuic. -AFP, BH ONLINE –
IMEDIKEL TV