LEBIH RAMAI TEBUSAN DIBEBASKAN DARI GAZA, ISRAEL

LEBIH RAMAI TEBUSAN DIBEBASKAN DARI GAZA, ISRAEL

GAZA: Gencatan senjata antara Israel dan Hamas memasuki hari keenam pada Rabu selepas tambahan beberapa tebusan dibebaskan sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin.

Pada masa sama, Qatar sebagai pengantara menggesa untuk gencatan senjata yang ‘mampan’.

Selepas lanjutan tempoh 48 jam kepada gencatan senjata awal selama empat hari, kumpulan baharu 12 tebusan dibebaskan dari Gaza pada Selasa, dengan 30 rakyat Palestin dibebaskan oleh Israel.

Tempoh 24 jam terakhir perjanjian lanjutan itu bermula lewat Rabu, dengan satu lagi pertukaran tebusan untuk banduan dijangka dilakukan, namun Qatar mengharapkan perjanjian yang lebih ‘tahan lama’.

“Fokus utama dan harapan kami ketika ini adalah untuk mencapai gencatan senjata yang mampan, yang akan membawa kepada rundingan selanjutnya dan lama kelamaan pengakhiran… kepada perang ini,” kata jurucakap Kementerian Luar, Majed Al Ansari pada sidang akhbar di Doha.

“Bagaimanapun, kami bekerja dengan apa yang kami ada, dan apa yang kami ada kini adalah peruntukan kepada perjanjian yang membolehkan kami melanjutkannya selagi Hamas dapat menjamin pembebasan sekurang-kurangnya 10 tebusan,” katanya.

Peruntukan itu membenarkan lanjutan dua hari, yang menyaksikan 10 tebusan Israel dibebaskan dari Gaza pada tengah malam Selasa, bersama dua warga Thailand yang dibebaskan di luar skop perjanjian.

Seorang wartawan AFP melihat pejuang bertopeng dan bersenjata dari Hamas dan Jihad Islam menyerahkan tebusan kepada pegawai Palang Merah di Rafah, berhampiran sempadan dengan Mesir.

Tebusan yang dibebaskan Israel semuanya terdiri wanita, termasuk Mia Leimberg, 17, yang pulang ke Israel bersama ibu dan ibu saudaranya.

Ketiga-tiga mereka diculik dari penempatan Nir Yitzhak dan remaja itu dilihat selepas dibebaskan sambil memegang anjingnya, Bella.

Terdapat beberapa kenyataan langsung setakat ini mengenai keadaan yang dihadapi tebusan, namun nenek kepada Eitan Yahalomi, 12, yang dibebaskan pada Isnin, berkata kanak-kanak lelaki itu ditahan dalam kurungan bersendirian selama 16 hari.

“Hari-hari dia bersendirian adalah mengerikan,” kata Esther Yaeli kepada laman web berita Israel Walla.

“Kini, Eitan kelihatan sangat suka bersendiri.” – AFP, BH Online –

IMEDIKEL TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *