Oleh: Athirah Azman@I Medikel TV
KOTA BHARU: Lesen memandu fizikal belum beralih sepenuhnya ke digital dan ia masih boleh didapati di mana-mana cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).
Pembantu Penguatkuasa, Faris Shah Sabrun, berkata, mereka yang memperbaharui lesen memandu di tempat lain selain daripada JPJ dan UTC tidak akan mendapat lesen fizikal.
“Orang ramai tidak akan mendapat lesen memandu fizikal sekiranya mereka perbaharu lesen di pejabat pos kerana sistem Percetakan Keselamatan Nasional (PKN) sudah diberhentikan oleh pihak JPJ dan kami telah membuka sistem baharu iaitu aplikasi MyJPJ,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Jelajah eKasih @Kota Lama, di Dataran muhammadi, di sini, baru-baru ini.
Jelasnya, lesen memandu fizikal masih boleh dikeluarkan dan diberikan kepada pemohon namun ia juga bakal beralih sepenuhnya ke digital pada masa akan datang.
“Kita perlu bergerak seiring dengan arus permodenan memandangkan semua perkara beralih ke digital pada waktu sekarang jadi orang ramai perlu menerima zaman teknologi masa kini,” katanya.
I Medikel TV