NOTTINGHAM, England: Manchester United semakin dihimpit tekanan selepas mereka tumbang 2-1 di tangan kelab bergelut Liga Perdana Inggeris, Nottingham Forest awal pagi tadi.
Anak buah Erik ten Hag memperagakan persembahan buruk yang dihukum oleh gol kemenangan lewat aksi lapan minit sebelum tamat menerusi Morgan Gibbs-White di City Ground.
Nicolas Dominguez meletakkan Forest di depan pada minit ke-64 sebelum Marcus Rashford menyamakan kedudukan dengan hanya gol ketiga buatnya musim ini pada minit ke-78.
Kekalahan keempat United dalam enam perlawanan terakhir bagi semua pertandingan menyebabkan mereka menghuni tangga ketujuh dalam Liga Perdana, sembilan mata di belakang empat kelompok teratas.
Kebangkitan mengagumkan selepas ketinggalan dua gol sebelum menundukkan Aston Villa 3-2 Selasa lalu disanjung sebagai era baharu hanya beberapa hari selepas Jim Ratcliffe melabur di kelab bermasalah itu.
Bilionair Britain, Ratcliffe membeli 25 peratus saham di United dengan bayaran sekitar £1.03 bilion (RM6.02 bilion) menjelang hari Krismas.
Kumpulan INEOS milik Ratcliffe akan mengambil alih operasi harian bola sepak United daripada pemilik yang kurang popular keluarga Glazer.
Namun di sebalik dakwaan Ten Hag kelmarin bahawa Racliffe mahu bekerjasama dengannya, keputusan ini menjadi bukti terkini regim baharu mungkin menimbang untuk memecat pengurus dari Belanda itu.
Ketua sukan INEOS, Dave Brailsford menonton perlawanan di samping bekas bos kelab, Alex Ferguson di City Ground ketika United tewas di tangan Forest buat kali pertama sejak tahun 1994.
Ten Hag perlu melakukan peningkatan ketara dalam keputusan dan persembahan United jika mahu mengelak daripada dipecat.
Forest melonjak lima mata di atas zon penyingkiran selepas Nuno Espirito Santo mengemudi kemenangan kedua berturut-turut ke atas kelab besar.
Kemenangan pertama Nuno sebagai bos Forest selepas menggantikan Steve Cooper yang dipecat hadir menentang Newcastle tetapi kali ini ia ternyata lebih besar. – AFP-BH Online-