MANCHESTER, England: Gol penalti lewat Douglas Luiz membantu Aston Villa melonjak ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 3-2 ke atas Burnley yang beraksi 10 pemain lewat malam tadi ketika Manchester City merapatkan kedudukan dengan pendahulu selepas membenam Sheffield United 2-0.
Villa kelihatan perlu melupakan musim perayaan kali ini selepas mencicirkan mata di laman sendiri buat kali pertama musim ini kepada Sheffield United dan mensia-siakan pendahuluan 2-0 sebelum tumbang 3-2 di Manchester United.
Bagaimanapun sepakan penalti Luiz membolehkan anak buah Unai Emery menyamakan mata dengan Liverpool di puncak liga.
Gol pembukaan Leon Bailey buat tuan rumah pantas dipadamkan oleh Zeki Amdouni buat Burnley.
Moussa Diaby kembali meletakkan Villa di depan sebelum rehat dan mereka mempunyai kelebihan seorang pemain bagi 35 minit terakhir selepas Sander Berge dibuang padang kerana dilayangkan kad kuning kedua.
Namun benteng Villa terperangkap lagi dan Lyle Foster meluru untuk meledak gol melepasi penjaga gol Emiliano Martinez 19 minit sebelum tamat.
Bagaimanpun mereka bertuah apabila Jhon Duran dijatuhkan dalam kawasan penalti dan Luiz merembat masuk gol kemenangan.
“Setiap orang terlalu gembira, kami perlu menikmati detik ini,” kata Luiz.
“Tiga perlawanan terakhir kami tidak bermain dengan begitu bagus. Ia sudah pertengahan musim, pemain sudah keletihan, kami hilang tiga atau empat pemain penting kerana cedera. Ia sukar, tetapi kami perlu meneruskannya.”
Sekalipun terlepas khidmat Erling Haaland bagi perlawanan ketujuh berturut-turut kerana kecederaan kaki, City tidak berdepan masalah menentang pasukan tangga tercorot The Blades.
Rodri menamatkan kedegilan Sheffield United selepas hanya 14 minit apabila pemain tengah dari Sepanyol itu menyudahkan satu gerakan dengan rembatan leret ke penjuru gol.
Julian Alvarez sekali lagi mampu menggantikan tempat Haaland apabila pemain Argentina itu menampan masuk gol keempatnya dalam tiga perlawanan susulan hantaran silang Phil Foden selepas sejam.
City melonjak di samping Arsenal dengan 40 mata, hanya dua mata di belakang Villa dan Liverpool, yang akan melayan kunjungan Newcastle awal pagi Selasa ini. – AFP-BH Online-