KUALA LUMPUR: Bintang muda muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar sememangnya berbakat besar dan bukan sesuatu yang mengejutkan jika suatu hari nanti dia bergelar jaguh nombor satu dunia.
Perkara itu diakui sendiri oleh rakan sepelatih Johan, Man Kongkrai, 27, yang juga atlet muay thai Thailand.
Malah katanya, dengan kesungguhan yang ditunjukkan Johan dalam usahanya menakkluk dunia, atlet berusia 17 tahun itu boleh bertarung dengan sesiapa sahaja termasuklah juara dunia dari Thailand, Rodtang Jitmuangnon.
“Johan adalah seorang atlet muay thai yang keras dan kuat. Dia sangat fokus dan komited dalam latihannya.
“Dia menghabiskan hampir keseluruhan masanya setiap hari dengan berlatih di gimnasium untuk melonjakkan prestasinya. Bagi saya, itu satu pengorbanan yang sangat besar daripada seorang atlet muda.
“Dia seorang atlet yang sangat berdisiplin dan sentiasa mendengar arahan daripada jurulatih. Bukan mudah untuk berjaya dalam muay thai kerana seseorang itu perlu benar-benar kuat dari aspek mental dan fizikal.
“Johan ada itu semua dan impiannya untuk menjadi jaguh nombor satu dunia bukanlah sesuatu yang mustahil. Saya percaya dia boleh mencapainya kerana dia memang berbakat besar,” katanya ketika ditemui BH Sukan di Kuching Sarawak, Selasa lalu.
BH Sukan semalam melaporkan Johan atau lebih dikenali Jojo menetapkan tempoh dua tahun lagi untuk dia bertarung dengan Rodtang dalam ONE Championship.
Katanya, dia berazam untuk merampas tali pinggang flyweight milik idolanya itu yang mula memenanginya pada 2019.
Mengulas mengenai kelebihan Johan sebagai atlet muay thai, Kongkrai berkata anak muda yang mempunyai darah campuran Malaysia-Amerika Syarikat itu memiliki tumbukan yang sangat padu.
“Sesiapa yang kena pasti akan merasainya. Saya sendiri pernah kena sebagai rakan sepelatihnya ketika dalam latihan,” katanya.
Kongkrai bukan satu-satunya atlet muay thai dari Thailand yang ‘diimport’ oleh Johan untuk menjadi rakan sepelatihnya.
Ini kerana, Johan akan menukar rakan sepelatihnya dari Thailand setiap dua atau tiga bulan untuk menjalani latihan bersamanya di Rentap Muay Thai Gym di Kuching.
Prestasi luar biasa Johan sepanjang musim ini menyaksikan dia diangkat sebagai Bintang Muda Paling Menyerlah 2023 oleh ONE Championship, kelmarin.
“Dengan rekod kemenangan 5-0 dan empat KO (kiraan knockout) tahun ini di bawah peraturan muay thai, Johan mengatasi pencabar lain bagi menjadi Bintang Paling Baharu Paling Menyerlah 2023,” tulis ONE Championship dalam laman web rasmi mereka.-BH Online-