MANCHESTER, England: Pep Guardiola berkata Manchester City menepati sasarannya bagi babak pertama musim sekalipun gagal berada di puncak seperti kebiasaan.
Kemenangan 2-0 ke atas Sheffield United lewat malam tadi membantu juara Inggeris itu merapatkan jurang kepada dua mata berbanding pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL).
City turut menjulang Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab buat julung kali dalam sejarah kelab itu, namun tumpas pada aksi Perisai Komuniti di tangan Arsenal menerusi penentuan penalti.
“Saya berasakan pada awal musim, layak bagi Liga Juara-Juara (peringkat kalah mati), menang tiga trofi itu – kami menang hanya dua – dan dalam EPL, kekal bersaing di sana,” kata Guardiola
Namun sebelum bertanding di Arab Saudi bagi Piala Dunia Kelab awal bulan ini, anak buah Guardiola menang hanya sekali daripada tujuh perlawanan terakhir mereka dalam EPL.
“Saya berasakan kami patut meraih lebih banyak mata dengan cara kami beraksi,” tegas Guardiola.
“Kedudukan kami berada sekarang lebih daripada bagus. Kami akan kalah perlawanan, mereka juga akan kalah. Kami akan cuba untuk mengelakkan terlalu banyak kalah.”
City menang lima trofi secara keseluruhan pada tahun 2023 selepas mengungguli EPL, Liga Juara-Juara dan Piala FA musim lalu.
Sebelum sepak mula di Etihad, semua lima trofi itu diperagakan dan Guardiola mampu menyatakan ia tahun yang perlu diingati sampai bila-bila.
“Kami saksikan lima trofi hari ini. Ia benar-benar bagus. Kami amat berpuas hati, terlalu bangga,” kata bekas bos Barcelona dan Bayern Munich itu.
“Kini ia berada dalam kabinet trofi. Bertemu Hudersfield (Piala FA) pula selepas ini.” – AFP-BH Online-