Oleh: Nur Athirah Azman@I Medikel TV
Ulser berlaku apabila lapisan permukaan kulit terhakis, meninggalkan lapisan dalam di mana deria kesakitan akan lebih terdedah.
Ia bukan sahaja terjadi pada permukaan mulut dan gusi, namun boleh juga terkena pada bahagian lidah.
Apabila terjadinya ulser lidah, sudah tentu individu terbabit akan berasa pedih di mana timbul tompok atau bintik berbentuk bulat dan berwarna putih di atas permukaan disebabkan luka yang terbuka.
Keadaan itu bukan sahaja menyeksakan, bahkan ia menjejaskan keselesaan untuk makan dan minum serta menelan air liur.
Ulser lidah ini biasanya terjadi apabila individu itu tergigit lidah, terhiris oleh benda tajam atau tabiat menggosok dan memflos bahagian oral yang kurang cermat, kemudian gagal merawat kecederaan itu dan menyebabkan luka yang terbuka.
Selain itu, luka terbuka itu boleh menjadi tempat pembiakan kuman seperti Candida albicans sekali gus boleh menyebabkan komplikasi lain termasuk menghilangkan deria rasa individu.
Di samping itu, penggunaan produk oral juga perlu dititikberatkan kerana ada antara pencuci atau pewangi mulut yang mungkin mengandungi bahan-bahan kimia sensitif seperti sodium lauryl sulfate.
Oleh kerana itu, ia boleh menghakis mukosa di dalam mulut dan menyebabkan luka yang terbuka pada permukaan mulut, lidah dan gusi.
Akhir sekali, kuantiti air kosong yang kurang dalam tubuh badan juga boleh mengakibatkan seluruh anggota tubuh badan menjadi dehidrasi di mana kurang air dan menyebabkan kering termasuk pada oral dan lidah.
I Medikel TV