Oleh: Nur Athirah Azman@I Medikel TV
Umumnya para ibu akan menjalani tempoh kehamilan sehingga 40 minggu sahaja.
Namun, anak yang dilahirkan sebelum minggu ke 37 dikategorikan sebagai bayi pramatang yang mana mereka lebih mudah terdedah kepada masalah perkembangan dan tumbesaran.
Bayi yang lahir tidak cukup bulan mempunyai pelbagai kategori seperti pramatang lewat iaitu bayi lahir di antara 34 hingga 36 minggu, pramatang sederhana lewat seperti bayi lahir di antara 32 hingga 34 minggu manakala pramatang awal ialah bayi yang lahir kurang daripada 32 minggu dan pramatang sangat awal adalah bayi yang lahir sebelum berusia 28 minggu.
Faktor yang menyumbang kepada kelahiran pra matang atau tidak cukup bulan itu antaranya kelahiran kembar, masalah rahim, keguguran berulang atau selang kehamilan kurang dari 6 bulan.
Oleh sebab itu, bayi pramatang akan mengalami gejala pramatang yang sangat jelas seperti saiz badan kecil berbanding ukuran kepala yang lebih besar, bentuk tubuh tampak lebih tajam dan berbeza dengan keadaan bayi cukup bulan yang lebih bulat.
Selain itu, bayi tersebut akan mempunyai rambut halus (lanugo) yang meliputi hampir sebahagian besar tubuh manakala suhu badan yang rendah, mengalami masalah pernafasan dan kesukaran bagi proses penyusuan.
Di samping itu, sesetengah bayi yang dilahirkan sebelum minggu ke -32 dan mempunyai berat 2.5kg atau kurang, mereka sangat memerlukan bantuan pernafasan dan perlu dijaga di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
Ianya bagi mencapai proses tumbesaran yang ditetapkan untuk mampu bertahan hidup dengan sendirinya. Manakala bayi yang lahir dalam minggu ke-32 hingga 37 pula memerlukan penjagaan di unit Rawatan Rapi Neonat (Special Care Nursery, SCN).
Namun begitu, bagi mengelakkan kelahiran bayi pramatang, wanita boleh mengamalkan suplemen progesteron bagi membantu menstabilkan lapisan dalam rahim yang disebut endometrium.
Selain itu, Cervical cerclage merupakan prosedur pembedahan yang dilakukan semasa kehamilan kepada wanita dengan serviks pendek.
Semasa prosedur ini, serviks dijahit rapat dengan jahitan kuat untuk memberikan sokongan tambahan pada rahim.
I Medikel TV