Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@Wartawan Imedikel TV
KOTA BHARU: Skrip drama dan filem yang menyelitkan unsur “soft porn” membimbangkan masyarakat masa kini.
Penerbit Eksekutif, Penerbit Bersama dan juga penulis skrip, Syukor Kadir, berkata sebagai penerbit mereka perlu bertanggungjawab dari awal sampai akhir sesebuah drama tersebut.
“Tanggungjawab ni bukan sahaja kepada “team” yang bekerja mahupun penonton, tetapi lebih kepada tanggungjawab kepada Allah.
“Ada persatuan-persatuan yang saya terajui dulu cuba untuk mengubah cara percakapan dan pertuturan dalam sesebuah drama,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis menandatangani persefahaman (MOU) tajaan iklan produk Ileila dalam filem Sea Gypsies di Wisma Imedikel, di sini, pada Sabtu.
Katanya, sebelum ini beliau menulis skrip iklan, dan skrip tersebut diserahkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terlebih dahulu untuk proses penyuntingan skrip tersebut sebelum disiarkan.
“Kami penulis skrip iklan buat undang-undang sendiri dan skrip tersebut diwajibkan dihantar ke DBP untuk disunting bagi mengelakkan menggunakan ayat penulisan dan pertuturan yang boleh mencetuskan kontroversi.
“Jadi saya rasa ini adalah penglibatan seluruh masyarakat untuk bertanggungjawab dalam sesebuah drama, setakat ini belum ada,” katanya.
Bagaimanapun, penulisan skrip sesebuah drama atau filem perlu bergantung kepada situasi atau babak dalam drama atau filem tersebut.
IMEDIKEL TV