FLORIDA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata beliau sudah memutuskan langkah tindak balas terhadap serangan dron yang membunuh tiga tentera AS di Jordan.
Pada masa sama, beliau menegaskan tidak mahu perang yang lebih meluas merebak di Asia Barat.Ads by
Berdepan tekanan yang semakin meningkat dalam tahun pilihan raya AS, Biden berkata beliau menganggap Iran bertanggungjawab membekalkan senjata kepada pihak yang melakukan serangan maut ke atas pangkalan tentera AS.
Rumah Putih memberi amaran kemungkinan ‘pelbagai tindakan’ sebagai tindak balas terhadap serangan maut pertama ke atas tentera AS di rantau itu sejak perang Israel-Palestin meletus pada Oktober lalu.
Kumpulan terkemuka pro Iran di Iraq, pada Selasa berkata ia akan menghentikan serangan ke atas tentera AS, ketika tindakan ketenteraan AS sudah hampir pasti, namun tidak ada tanda ia cukup untuk menghentikan tindak balas Washington.
“Ya,” kata Biden kepada pemberita ketika beliau menuju ke majlis pengumpulan dana kempen di Florida, apabila ditanya sama ada sudah membuat keputusan, namun tidak memberikan butiran lanjut.
“Saya tidak fikir kita memerlukan perang yang lebih meluas di Asia Barat. Bukan itu yang saya cari,” katanya.
Ketegangan meningkat di rantau itu sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober, dengan tentera AS di Iraq dan Syria diserang lebih daripada 165 kali dalam beberapa bulan.
AS dan Britain juga melancarkan kempen serangan udara terhadap Houthi di Yaman yang disokong Iran dan melakukan serangan berulang kali ke atas perkapalan di Laut Merah, dalam apa disifatkan mereka sebagai solidariti bersama Gaza.
Republikan menggesa Demokrat untuk menghukum Iran berikutan serangan dron pada Ahad lalu ke atas kemudahan tentera AS berhampiran sempadan Jordan-Syria, dengan segelintir menggesa serangan terus ke atas Iran sendiri.
Ditanya sama ada Iran harus dipersalahkan atas serangan terhadap Jordan, Biden menjawab: “Saya bertanggungjawab kepada mereka, dalam erti kata mereka membekalkan senjata kepada orang yang melakukannya”.
Ditanya sama ada rangkaian langsung dengan Iran sudah diwujudkan, Biden berkata, pihaknya akan berbincang mengenai perkara itu. – AFP, BH Online –
IMedikel TV