DOHA: Roberto Mancini dikecam teruk peminat kerana sikapnya ketika Arab Saudi tewas penentuan sepakan penalti di tangan Korea Selatan pada pusingan 16 terakhir Piala Asia awal pagi tadi.
Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Pasukannya tersingkir daripada Piala Asia selepas tewas 4-2 menerusi penentuan penalti.
Ketika penentuan penalti itu, Mancini dilihat berjalan keluar menerusi terowong sebelum sepakan penalti terakhir.
Bekas bos Manchester City itu kecewa selepas penalti Abdulrahman Gareeb diselamatkan penjaga gol Korea Selatan sekali gus memberi peluang kepada lawan untuk mencatat kemenangan.
Penyerang Wolves, Hwang Hee Chan kemudian tampil untuk menjaringkan penalti kemenangan sekali gus memastikan kemaraan bertemu Australia Jumaat ini.
Arab Saudi mendahului bagi hampir keseluruhan babak kedua dan sudah berada di ambang untuk mara sebelum melepaskan gol penyamaan pada minit kesembilan masa kecederaan.
Susulan itu, Mancini pantas dikritik peminat kerana sikapnya itu di media sosial.
Seorang peminat menulis di laman X: “Ini benar-benar tidak menghormati.”
Seorang lagi penyokong yang marah menambah: “Terlalu teruk dan tidak hormat.”
“Ia tidak bermaruah bagi seseorang yang berkaliber sepertinya. Tidak menghormati, bukan sahaja kepada lawan, tetapi kepada pasukannya sendiri,” komen seorang lagi netizen.
Ditanya selepas perlawanan itu kenapa beliau keluar awal, Mancini berkata: “Korea Selatan mempunyai dua peluang untuk memastikan kemenangan dalam dua sepakan terakhir mereka, jadi saya berlalu pergi.”
Mancini mula mengendali Green Falcons sejak musim panas lalu.
Beliau dilantik menerusi kontrak empat tahun selepas meletak jawatan sebagai bos Itali. – AGENSI,BH Online-
Imedikel TV