NEWCASTLE KEMBALI KE LANDASAN SEBENAR

NEWCASTLE KEMBALI KE LANDASAN SEBENAR

BIRMINGHAM, England: Newcastle United menamatkan rentetan empat kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris ketika dua gol Fabian Schar mencetus inspirasi kemenangan 3-1 ke atas Aston Villa awal pagi tadi.

Pertahanan tengah Switzerland, Schar meledak dua gol dalam tempoh empat minit pada hujung babak pertama di Villa Park.

Gol sendiri Alex Moreno pada babak kedua mengukuhkan kelebihan Newcastle sebelum Ollie Watkins membalas satu gol buat Villa tetapi ia sudah terlewat untuk menyelamatkan mereka.

Buat kali pertama sejak menundukkan Fulham pada 16 Disember lalu, pasukan kendalian Eddie Howe mampu meraikan tiga mata, sekalipun mereka menang dalam aksi Piala FA menentang Sunderland dan Fulham ketika mereka gagal menang dalam liga.

Newcastle melonjak ke tangga ketujuh ketika mereka berusaha untuk meraih tempat ke Eropah menerusi musim yang sukar.

“Ia satu perasaan bercampur baur buat saya kerana ini satu pasukan elit. Kami juga tidak menyaksikan kemenangan buat beberapa minggu. Hari ini kami kelihatan seperti diri kami yang sebenar,” kata Howe.

“Kami sedar semua mata tertumpu kepada kami. Kami mengharungi kempen mengecewakan dalam Liga Perdana, terutamanya di gelanggang lawan. Ia satu keputusan yang bermakna.”

Kekalahan itu satu tamparan besar buat pasukan tangga keempat Villa, meninggalkan anak buah Unai Emery lima mata di belakang pendahulu Liverpool, yang beraksi kurang satu perlawanan.

Ia kekalahan pertama Villa di halaman sendiri dalam 17 perlawanan sejak tumpas kepada Arsenal pada Februari 2023.

Villa memegang rekod terbaik laman sendiri dalam Liga Perdana setakat ini musim ini.

Namun Newcastle membelasah mereka 5-1 di St James’ Park pada awal kempen dan sekali lagi mereka terlalu kuat buat pasukan Emery.

“Ia agak mengecewakan. Hari ini kami terpaksa menerimanya kerana mereka berhak. Kekuatan Newcastle adalah dari segi set-pieces. Bagi 60 minit pertama, mereka lebih bagus berbanding kami,” kata Emery.

– AFP,BH Online-

Imedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *