PENINGKATAN POPULASI BADAK AIR MILIK PABLO ESCOBAR MEMBIMBANGKAN

PENINGKATAN POPULASI BADAK AIR MILIK PABLO ESCOBAR MEMBIMBANGKAN

BOGOTA: Pakar alam sekitar Colombia meluahkan kebimbangan mengenai populasi badak air milik bekas raja dadah Pablo Escobar, yang dijangka meningkat mendadak hingga 1,000 ekor jika tidak dikawal termasuk dimusnah, dimandul atau dikembirikan.

Daily Star melaporkan pegawai Colombia masih gigih berusaha untuk mengawal populasi badak air yang dibiarkan berkeliaran bebas di sekitar Sungai Magdalena, utara Bogota itu.

Tahun lalu, Menteri Alam Sekitar, Susana Muhamad berkata, kerajaan berharap untuk menyelesaikan masalah itu, tetapi tiada tindakan diambil sejak pengumumannya.

Kerajaan ada mengumumkan rancangan pemusnahan yang akan dijalankan bersama program pensterilan dan penyingkiran binatang itu dari Colombia ke negara lain.

Tetapi rancangan terbantut dan terdapat permit yang belum selesai untuk memindahkan lebih daripada 70 haiwan itu.

Pakar kini percaya jika bilangan badak air itu tidak dikebirikan, menjelang 2035 mungkin terdapat sehingga 1,000 haiwan itu di seluruh Colombia yang pastinya menjadi berita buruk.

Presiden Persatuan Zoo, Penetasan dan Akuarium Mexico (AZCARM) Ernesto Zazueta, berkata pihaknya berada dalam kedudukan terbaik untuk berusaha membantu kerajaan Colombia dengan masalah berkenaan.

“Ia adalah mengenai kerjasama binasional dalam hal pengurusan hidupan liar yang hari ini sangat diperlukan dalam menghadapi ribuan spesies semakin pupus di dunia,” katanya.

Zazueta tidak percaya memusnahkan binatang itu sebagai pilihan tepat untuk membendung populasi.

Escobar yang pernah menjadi ketua Kartel Medellin adalah seorang daripada lelaki terkaya di dunia hasil kekayaan empayar pengedaran dadah yang dibinanya.

Dia menggunakan hasil kekayaannya untuk membina sebuah zoo peribadi yang menempatkan badak air, flamingo, zirafah, kuda belang dan kangaru.

Selepas ditembak mati oleh polis pada 1993, semua haiwan kecuali badak air dijual kepada zoo. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *