AFRIKA SELATAN MOHON ICJ KELUARKAN LANGKAH SEMENTARA BAHARU UNTUK PENDUDUK GAZA

AFRIKA SELATAN MOHON ICJ KELUARKAN LANGKAH SEMENTARA BAHARU UNTUK PENDUDUK GAZA

THE HAGUE: Afrika Selatan semalam memohon Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk mengenakan langkah kecemasan baharu ke atas Israel berikutan keadaan mendesak penduduk Gaza yang dilanda krisis kebuluran akibat serangan rejim itu.

Ini kali kedua negara itu meminta ICJ menambah langkah bagi mengawal kerakusan Israel selepas permintaan pertamanya pada Februari lalu, ditolak.

Afrika Selatan berkata, pihaknya terpaksa kembali ke ICJ memandangkan fakta baharu dan perubahan situasi di Gaza, khususnya situasi kebuluran yang meluas semasa serangan itu.

Katanya, permohonannya itu peluang terakhir bagi menyelamatkan rakyat Palestin di Gaza yang ada mati kelaparan dan kini ‘selangkah’ daripada kebuluran.

“Kanak-kanak Palestin mati kelaparan akibat daripada tindakan yang disengajakan Israel yang melanggar Konvensyen Genosid dan perintah mahkamah.

“Pretoria menggesa mahkamah memerintahkan penghentian serta-merta perang, pembebasan semua tebusan, penamatan sekatan Israel ke atas Gaza dan pemberian bantuan kecemasan,” katanya.

Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kebuluran semakin buruk dan orang ramai yang terdesak terpaksa merompak trak bantuan makanan.

Kementerian Kesihatan di wilayah Palestin berkata, kekurangan makanan dan air yang teruk di tengah-tengah perang Gaza mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang.

Afrika Selatan mendakwa Israel melanggar Konvensyen Genosid PBB 1948 yang ditubuhkan selepas Perang Dunia II dan Holocaust semasa kempen ketenteraannya di Gaza.

Pretoria memuji penghakiman Januari sebagai kemenangan dan berkata, ia harus membawa kepada gencatan senjata.

Bagaimanapun, pada pertengahan Februari, IcJ menolak permintaan Afrika Selatan untuk menekan Israel menghentikan serangan terhadap Rafah.

Israel pula menolak perintah ICJ dengan Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu menyifatkan tuduhan terhadap Israel palsu dan keterlaluan. – AFP, HMetro Online –

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *