ENDRICK BAKAL JADI TONGGAK PENTING KELAB, NEGARA – DORIVA

ENDRICK BAKAL JADI TONGGAK PENTING KELAB, NEGARA – DORIVA

MADRID: Brazil menjangkakan bintang baharunya, Endrick akan memainkan peranan penting untuk kelab dan negara selepas pemain remaja itu menjaringkan gol dalam kemenangan 1-0 ke atas England di Wembley, kata pengendalinya, Dorival Junior.

Endrick, 17, masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol pertamanya untuk Selecao dalam aksi persahabatan berkenaan.

Dia yang akan menyertai Real Madrid dari Palmeiras apabila mencapai usia 18 tahun pada Julai, menjadi pemain lelaki termuda menjaringkan gol di stadium ikonik itu untuk memberikan kemenangan pertama buat Dorival yang membimbing Brazil pada perlawanan sulungnya.

“Endrick akan membawa kegembiraan kepada peminat-peminat Real Madrid, itu sudah pasti. Dia mempunyai masa depan yang cerah dan cepat matang.

“Ketajamannya di depan gawang sangat luar biasa. Dia agresif, bengis, menggunakan ruang sebaik-baiknya dan mempunyai keupayaan unik di hadapan gol,” kata Dorival.

Dorival bagaimanapun tidak akan menurunkan Endrick dalam kesebelasan utama menentang Sepanyol di Santiago Bernabeu awal pagi esok, tetapi berjanji peminat akan dapat melihatnya beraksi dalam perlawanan persahabatan itu.

“Kami perlu berhati-hati, langkah demi langkah, supaya dia berkembang secara semula jadi, tanpa meletakkan jangkaan terlalu tinggi ke atas seseorang yang baru memulakan kariernya,” katanya.

– REUTERS,BH Online –

Imedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *