BAYERN LEGA KANE, COMAN KEMBALI

BAYERN LEGA KANE, COMAN KEMBALI

MUNICH: Bayern Munich mendapat suntikan semangat dengan kembalinya penyerang Harry Kane dan Kingsley Coman bagi aksi Bundesliga menentang musuh tradisi Borussia Dortmund, namun penjaga gol Manuel Neuer kekal diketepikan kerana kecederaan, kata pengurus Thomas Tuchel.

Kapten England, Kane terlepas aksi persahabatan negaranya menentang Brazil dan Belgium selepas mengalami kecederaan buku lali ketika Bayern menang 5-2 di Darmstadt, manakala Coman dari Perancis berehat selama dua bulan susulan ligamen koyak di lutut kirinya.

Kapten Bayern, Neuer pula mengalami kekejangan otot ketika latihan bersama pasukan kebangsaan Jerman minggu lalu dan terpaksa diketepikan bagi perlawanan itu.

Juara bertahan Bayern, yang ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Bundesliga, Bayer Leverkusen, melayan kunjungan pasukan tangga keempat Dortmund awal pagi esok sebelum bertandang ke Heidenheim pada 6 April.

Mereka kemudian berkunjung ke Arsenal bagi aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara pada 9 April depan.

“Harry berlatih penuh bersama pasukan semalam, dia semakin pulih setiap hari. Semuanya bagus, dia akan beraksi,” kata Tuchel kepada wartawan lewat malam tadi.

“King (Coman) satu faktor besar buat kami dan dia akan kembali dalam skuad. Serge Gnabry juga kembali. Kedua-duanya amat penting buat kami. Pilihan kami di jentera serangan semakin banyak dan persaingan merebut tempat harapnya dapat meningkatkan kualiti.

“Neuer tidak boleh bermain. Aleks Pavlovic malangnya tidak boleh beraksi. Raphael Guerreiro juga belum kembali. Dan Sacha Boey mengalami kecederaan minggu ini. Empat pemain ini terpaksa diketepikan.”
Tuchel amat berharap Neuer akan kembali menentang Heidenheim.

“Ia tiada kena mengena dengan risiko. Kesakitannya amat sangat. Kami harap seminggu sudah cukup memadai dan dia akan berada di pintu gol menentang Heidenheim,” kata warga Jerman itu.

– REUTERS,BH Online –

Imedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *