PEROGOL TINDER’ DIPENJARA SELAMA 18 TAHUN DI PERANCIS

PEROGOL TINDER’ DIPENJARA SELAMA 18 TAHUN DI PERANCIS

PARIS: Mahkamah Perancis menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Perogol Tinder’, atas tuduhan merogol dan melakukan serangan seksual terhadap beberapa wanita yang ditemui di aplikasi media sosial itu.

Salim Berrada, 38, seorang bekas jurugambar dari Maghribi, didapati bersalah atas 12 tuduhan merogol dan tiga serangan seksual.

Dia didakwa merogol atau menyerang 17 wanita secara seksual, tetapi dibebaskan daripada tuduhan merogol dua mangsa kerana kekurangan bukti dan keraguan munasabah.

Berrada dilihat tidak memberikan sebarang reaksi ketika keputusan dibacakan manakala mangsanya menghela nafas lega sebaik hakim membacakan nama mereka satu demi satu.

Sebaik saja selesai prosiding, beberapa wanita bertindak berdiri dan bertepuk tangan serta menjerit ‘terima kasih’ selepas perbicaraan berjalan selama dua minggu.

Pendakwa Raya memohon supaya Berrada dikenakan hukuman penjara 19 tahun dengan alasan dia menjemput wanita yang ditemuinya dalam talian pada 2015 dan 2016 bagi beraksi sebagai model dan menyerang mereka ketika pertemuan itu.

Defendan menafikan pertuduhan itu dengan mengatakan hubungan seksual itu dilakukan dengan persetujuan kedua-dua pihak.

Pendakwa Raya berhujah bahawa Berrada ketagih seks dan seorang pemangsa dengan modus operandi yang hebat, licik, kompulsif dan sangat berbahaya kerana dia adalah pesalah berulang.

Berrada pertama kali ditangkap pada 2016 dan dipenjara selama lebih dua tahun ketika menunggu perbicaraan sebelum dibebaskan di bawah pengawasan dan dilarang bekerja sebagai jurugambar.

Dia dipenjarakan sekali lagi pada Julai tahun lalu berikutan gelombang baru aduan undang-undang dan didakwa sekali lagi atas tuduhan rogol dan serangan seksual.

Siasatan terhadap dakwaan baharu itu sedang dijalankan. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *