Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikekel TV
Hidung berdarah adalah sesuatu kejadian yang berlaku di luar jangkaan semua orang. Ia boleh berlaku secara tiba-tiba yang mana keluar darah melalui rongga hidung.
Apabila kejadian ini berlaku, ramai yang mentafsirkan ianya disebabkan oleh cuaca panas, namun sebenarnya terdapat beberapa punca lain berlakunya kejadian sebegitu.
Antaranya ialah:
- Kecederaan di hidung
- Udara yang terlampau sejuk atau kering
- Menghembus hidung dengan kuat
- Terlalu kerap bersin
- Ketumbuhan dalam rongga hidung (contoh: polyps, tumor)
- Tindak balas bahan kimia
Masalah ini boleh berlaku tidak kira usia. Ianya terdiri daripada dua jenis pendarahan hidung seperti pendarahan depan (anterior) dan pendarahan belakang (posterior).
Pendarahan depan (anterior) adalah pendarahan yang berlaku daripada saluran darah bahagian hadapan hidung.
Manakala pendarahan belakang (posterior) adalah pendarahan yang berlaku daripada saluran darah jauh di dalam hidung. Yang mana pendarahan akan berlaku di bahagian belakang mulut atau di bahagian tekak.
Orang ramai elak segera panik sekiranya kejadian ini berlaku, sebaliknya mereka perlu tahu cara untuk mengatasinya ketika berlaku kecemasan, antaranya ialah:
- Jangan mendongak untuk hentikan pendarahan kerana ia menyebabkan darah membeku di dalam hidung.
- Duduk dengan tegak dan bongkokkan badan ke hadapan.
- Tekan bahagian hidung untuk 10 minit.
- Gunakan ais dan letakkan di batang hidung.
- Bernafas menggunakan mulut bukan hidung.
Selain itu, mereka juga tidak digalakkan melakukan perkara seperti berikut:
- Berbaring atau mendongakkan kepala
- Menyumbat hidung dengan tisu, kapas atau kain
- Menghembus hidung atau mengorek hidung
- Makan makanan panas atau pedas boleh menyebabkan hidung kembali berdarah
Namun begitu, segera dapatkan rawatan sekiranya mengalami pendarahan hidung yang tidak henti atau berlaku berulang kali.
IMedikel TV