LONDON: Manchester United diikat 1-1 di kelab bawahan Brentford selepas gol penyamaan Kristoffer Ajer pada minit ke-99 pada pertembungan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi, sekali gus menjejaskan harapan mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Pemain gantian Mason Mount berasakan dia sudah memberikan United kemenangan dramatik apabila rembatannya masuk pada minit ke-96 selepas Brentford mendominasi perlawanan itu.
Namun Ajer menyepak masuk hantaran Ivan Toney dari jarak dekat tiga minit kemudian untuk menafikan kemenangan United dan meninggalkan mereka di tangga keenam, 11 mata di belakang pasukan tangga keempat Aston Villa.
Mereka juga dibezakan lapan mata dengan Tottenham di tangga kelima, kedudukan yang mungkin cukup bagi aksi bola sepak Liga Juara-Juara musim ini.
Villa bagaimanapun beraksi lebih satu perlawanan berbanding Spurs dan United.
“Masih ada banyak perlawanan perlu ditempuhi,” kata bos United, Erik ten Hag yang kelihatan kecewa kepada wartawan apabila ditanya jika pasukannya masih boleh layak ke pertandingan elit kelab Eropah.
Ten Hag mengakui United bukan pasukan terbaik sepanjang aksi di Brentford namun kesal dengan kegagalan pemainnya untuk menang selepas mendahului pada masa kecederaan.
“Kami tidak berhak untuk menang tetapi jika anda menang, anda perlu menerima keputusan ini,” kata warga Belanda itu.
Keputusan seri menyaksikan Brentford berada di tangga ke-15, lima mata di atas zon penyingkiran tetapi mereka berhak lebih daripada itu. – REUTERS,BH Online –
Imedikel TV