QUITO: Kumpulan penjenayah di Ecuador menculik, menyoal siasat dan membunuh lima pelancong akibat tersilap identiti dan menyangka mereka adalah ahli kumpulan sindiket dadah saingan, kata pegawai penguatkuasa.
Kira-kira 20 penyerang menyerbu sebuah hotel pada Jumaat di bandar pantai Ayampe di selatan Ecuador dan menculik enam orang dewasa dan seorang kanak-kanak, kata komander polis tempatan, Richard Vaca.
“Pelancong yang diculik, kesemuanya warga Ecuador, disoal siasat dan beberapa jam kemudian mayat lima orang dewasa ditemui dengan kesan tembakan di jalan raya,” katanya.
Penyerang ‘nampaknya tersilap identiti dan menyangka mereka adalah musuh’ daripada sindiket dadah saingan mereka, kata Vaca.
Presiden Ecuador, Daniel Noboa, berkata seorang ditangkap setakat ini dalam kes berkenaan dan kerajaan sedang menjejaki penyerang yang lain.
Ecuador, yang sebelum ini dianggap sebagai benteng keamanan di Amerika Latin, kini terjerumus dalam krisis susulan penyebaran pesat kartel transnasional yang menggunakan pelabuhannya untuk menghantar dadah ke Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Pada Januari, Noboa mengisytiharkan darurat di Ecuador dan mengumumkan perang negara itu terhadap kumpulan penjenayah selepas berlaku gelombang keganasan menyusuli kejayaan seorang ketua penjenayah melarikan diri dari penjara.
Sejak itu, tentera telah ditempatkan di jalanan dan mengawal penjara negara, di mana rentetan rusuhan sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menyebabkan kira-kira 460 orang terbunuh.
Sejak tentera dikerah memerangi kumpulan dadah, nisbah kadar pembunuhan di Ecuador meningkat daripada enam bagi setiap 100,000 penduduk pada 2018 kepada 46 bagi setiap 100,000 pada 2023. – AFP, BH Online –
IMedikel TV