KAHERAH: Serangan udara terbaharu Israel ke atas tiga rumah di Rafah membunuh 13 orang dan mencederakan ramai yang lain, kata pegawai perubatan hari ini, beberapa jam sebelum rundingan gencatan senjata Israel-Hamas dimulakan di Mesir.
Media Hamas pula menganggarkan angka kematian mencecah 15 orang manakala pegawai kesihatan turut mengesahkan pesawat Israel menyerang dua rumah dan menyebabkan kematian serta mencederakan beberapa orang di bandar Gaza.
Walaupun mengadakan runding dengan Hamas, Israel masih meneruskan ikrarnya untuk menghapuskan Hamas yang mengawal Gaza dan sudah membunuh lebih 34,000 rakyat Palestin, dengan 66 pembunuhan dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Peperangan itu menyebabkan sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk dipindahkan dan berada di sebahagian besar kawasan Rafah yang kini dikepung.
Semalam, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berbincang dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Rumah Putih berkata, mereka menyemak rundingan itu untuk memastikan pembebasan tebusan yang ditahan sejak serangan 7 Oktober lalu dan memastikan gencatan senjata serta-merta di Gaza.
Katanya, mereka juga membincangkan peningkatan kadar penghantaran bantuan, termasuk persediaan untuk membuka lintasan baharu ke Gaza.
“Presiden juga menekankan keperluan untuk langkah ini dikekalkan dan dipertingkatkan melalui penyelarasan penuh dengan pertubuhan kemanusiaan,” kata kenyataan itu.
Rumah Putih berkata, Biden turut ‘mengulangi pendiriannya yang jelas’ mengenai kemungkinan pencerobohan bandar sempadan Gaza Rafah.
Washington berkata, mereka tidak boleh menyokong operasi Rafah tanpa rancangan kemanusiaan yang sesuai dan boleh dipercayai.
Pada masa sama, Jabatan Negara AS berkata Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, akan mengadakan lawatan ke ke Jordan dan Israel selepas melawat Arab Saudi untuk membincangkan usaha ke arah gencatan senjata dan pembebasan tebusan. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV