JPN TURUN PADANG SERAH DOKUMEN PENGENALAN DIRI KEPADA OKU

JPN TURUN PADANG SERAH DOKUMEN PENGENALAN DIRI KEPADA OKU

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri Kelantan turun padang menyerahkan dokumen pengenalan diri kepada orang kelainan upaya (OKU) kategori Cerebral Palsy yang sudah terlantar sejak lebih 20 tahun lalu.

Ketua pengarahnya, Badrul Hisham Alias berkata, penyerahan dokumen kepada Afiq Aiman Muhamad Abdullah, 22, adalah di bawah inisiatif Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR).

“Pada hari ini baru kita dapat serah setelah beliau berusia 22 tahun. Jadi perkara ini tidak sepatutnya berlakulah.

“Pemohon ataupun pemegang mykad akan mendapat apa sahaja yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat. Kalau tidak ada mykad, bantuan kebajikan JKM pun tidak dapat dan juga perkara lain yang diberi bantuan sara hidup tidak dapat disampaikan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR), di Kg Chenok Batu 8, Kadok, di sini, pada Rabu.

Selain itu katanya, terdapat juga masalah anak-anak yang sukar mendapat dokumen kelahiran berikutan pasangan yang tidak mendaftarkan perkahwinan mereka dalam negara.

Katanya, negeri Kedah, Perak, Perlis dan Kelantan mencatatkan paling banyak masalah untuk mendapat dokumen kelahiran anak.

“Saya rasa mungkin antara yang banyak adalah Kedah sebab banyak perkahwinan yang tidak teratur. Kita panggil dia terminologi. Kita panggil perkahwinan tidak teratur.

“Jadi bila perkahwinan tidak didaftarkan secara sah di Malaysia, anak tidak akan layak menjadi warganegara mengikut undang undang Yang Malaysia yang sekarang,” katanya.

Jelasnya, perkahwinan yang disebut sebagai ‘perkahwinan tidak teratur’ kebanyakannya disebabkan mereka ingin merahsiakan perkahwinan daripada isteri pertama.

IMEDIKEL TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *