HAMILTON, KANADA: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti melangkaui perbincangan dan mengambil tindakan menamatkan perang di Gaza, kata utusan Perancis ke PBB semalam.
“Majlis Keselamatan tidak boleh bercakap sahaja, Majlis Keselamatan perlu bertindak,” kata Nicolas de Riviere kepada pemberita di New York menjelang sesi kecemasan tertutup di majlis itu.
Menekankan keperluan segera gencatan senjata di Gaza dan pembebasan tebusan, de Riviere mengingatkan Perancis mengecam serangan udara pada Ahad ke atas sebuah kem untuk pelarian di Rafah yang mengorbankan sekurang-kurangnya 45 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Beliau berkata operasi ketenteraan Israel mesti ditamatkan mengikut keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Mengambil maklum komitmen Perancis untuk membina sebuah negara untuk rakyat Palestin, de Riviere berkata, “Sudah tiba masanya untuk Majlis mengambil tindakan dan menerima pakai resolusi baharu.”
Beliau juga menggariskan bahawa Majlis Keselamatan mesti menunaikan kewajipannya. – AGENSI, BH Online –
IMEDIKEL TV