IMEJ ‘ALL EYES ON RAFAH’ DIKONGSI 44 JUTA KALI DALAM TALIAN

IMEJ ‘ALL EYES ON RAFAH’ DIKONGSI 44 JUTA KALI DALAM TALIAN

Paris: Imej janaan Kecerdasan Buatan (AI) yang mengandungi perkataan ‘All eyes on Rafah’ (Semua mata pada Rafah) dikongsi oleh lebih 44 juta akaun Instagram sejak Isnin selepas serangan maut Israel di kem untuk penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di bandar Gaza.

Imej itu menggambarkan deretan khemah padat yang terbentang tanpa henti merentasi landskap padang pasir yang dibayangi oleh pergunungan, merujuk kepada ratusan ribu rakyat Palestin yang melarikan diri ke sana semasa kempen ketenteraan Israel menentang Hamas.

Pelakon Chile-Amerika Syarikat, Pedro Pascal; model terkenal, Bella dan Gigi Hadid, yang berketurunan Palestin; dan bintang bola sepak Perancis, Ousmane Dembele adalah antara selebriti yang berkongsinya di Instagram.

Slogan ‘All eyes on Rafah’ juga dikongsi secara meluas dalam penerbitan dan rangkaian sosial lain, terutamanya X, di mana tanda pagar #alleyesonrafah telah menarik hampir satu juta hits, menurut pemantau dalam talian Visibrain.

Platform itu, dahulunya Twitter, juga melihat 27.5 juta mesej diterbitkan dalam tiga hari mengenai serangan ke atas bandar Gaza selatan bersempadan dengan Mesir yang menimbulkan kemarahan antarabangsa.

Kementerian kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas berkata, serangan Israel ke atas kem itu yang mencetuskan kebakaran pada Ahad membunuh 45 orang dan mencederakan 249.

Tentera Israel berkata, ia menyasarkan dan membunuh dua pejuang kanan Hamas, dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bercakap mengenai “kemalangan tragis” yang sedang disiasat oleh kerajaannya.

Perang Gaza paling maut dicetuskan oleh serangan Hamas pada 7 Oktober yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel selatan yang mengakibatkan kematian 1,189 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Pejuang turut mengambil 252 tebusan, 121 daripadanya kekal di Gaza, termasuk 37 yang dikatakan tentera Israel sudah mati.

Serangan balas Israel membunuh sekurang-kurangnya 36,171 orang di Gaza, kebanyakannya orang awam, menurut kementerian kesihatan wilayah kendalian Hamas – AFP, HMetro –

IMEDIKEL TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *