Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
GUA MUSANG: Penyasaran subsidi diesel bukan sahaja menimbulkan amarah pengguna diesel malah memberi impak kepada bukan pengguna diesel kerana terkesan dengan kenaikan harga barang.
Namun, menurut Timbalan Ketua Setiausaha Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif, Nik Kamaruzaman Nik Husin, orang ramai tidak perlu terburu-buru membuat persepsi negatif terhadap kerajaan berikutan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang bermula pada 10 Jun lepas.
“Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, mereka mestilah menghadam maklumat yang disampaikan oleh kerajaan malah sekiranya tidak jelas, mereka boleh berjumpa dengan pihak jabatan yang berkaitan.
“Jangan terlalu banyak membuat tanggapan tanpa mengetahui perkara yang sebenar, contohnya isu diesel ini saya rasa yang marah itu ramai di kalangan mereka yang bukan pengguna diesel namun mereka sekadar untuk menunjuk marahnya kepada kita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Kita MADANI di Dataran Kesedar, di sini, pada Jumaat.
Nik Kamaruzaman berkata, sebelum ini diesel telah diseludup menyebabkan berlakunya ketirisan sumber negara dan mengalami kerugian besar yang sepatutnya menjadi hak milik rakyat negara Itu.
Sementara itu, Pegawai Penguatkuasaan Ketua Unit Siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan, Muhammadi Iman Masjuri berkata, kekurangan anggota KPDN dalam menjaga kawasan sempadan menjadi cabaran utama berlakunya ketirisan sumber negara yang menjadi ancaman kepada kemakmuran negara.
“Saya tidak dapat menafikan dan tidak menipu bahawa anggota penguatkuasa di sempadan atau negeri Kelantan sebenarnya tidak mencukupi untuk menjaga keseluruhan sempadan kerana tidak mungkin kita meletakkan setiap seorang anggota di setiap 100meter Sungai Golok.
“Namun saya berterima kasih kepada Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana sering memberi kerjasama yang baik bersama kita,” katanya pada forum isu semasa “Ketirisan Sumber Negara Ancaman kepada kedaulatan dan kemakmuran negara”, di Dataran Kesedar, di sini pada Khamis.
Jelasnya, kuantiti penyeludupan tahun ini semakin bertambah berbanding tahun lalu dengan menggunakan modus operandi yang berbeza menyebabkan ianya sukar dikesan.
“Ini kerana mereka mempunyai rantaian yang banyak dan sukar untuk dikesan serta ditangkap.
“Saya berharap kita dapat menambah penguatkuasa dan berharap orang ramai di luar sana tidak terlalu cepat menghukum pihak penguatkuasa samaada menerusi teknologi terkini dan media sosial kerana itu juga menjadi cabaran yang sebenarnya tidak diketahui ramai,” katanya.
IMedikel TV