KASTAM KELANTAN PATAHKAN CUBAAN BARANGAN SELUDUP BERNILAI RM2.44 JUTA

KASTAM KELANTAN PATAHKAN CUBAAN BARANGAN SELUDUP BERNILAI RM2.44 JUTA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan bagi mengedar dan menyeludup pelbagai barangan berjumlah RM 2.44 juta.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata barangan itu termasuk rokok dan arak.

“Rampasan rokok merekodkan rampasan terbesar iaitu sebanyak 3.23 juta batang membabitkan nilai termasuk cukai sebanyak RM2.38 juta.

“Rampasan rokok dilakukan di Lebuhraya Timur Barat dekat Jeli pada 2 Julai lalu jam 3.40 petang. Rampasan dilakukan hasil risikan pihak kastam dengan kerjasama unit peronda polis,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya hasil operasi yang dilakukan di sekitar Gua Musang dan Jeli membabitkan 17 kes itu membawa kepada penangkapan seramai 15 individu termasuk tiga warga asing berusia antara 20 hingga 49 tahun.

Mengulas lanjut, Wan Jamal Abdul Salam berkata, hasil operasi itu juga pihaknya telah merampas 64.61 liter minuman keras dan pelbagai barangan lain seperti, mercun, beras dan lain-lain barangan seludup.

Katanya, modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk barangan dagangan terbabit dari negara jiran melalui Sungai Golok atau pesisir pantai dengan menggunakan sampan atau bot.

Manakala modus operandi bagi minuman keras pula ialah membeli dengan pengedar tempatan secara haram sebelum dijual secara runcit kepada penduduk tempatan atau warga asing.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Imedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *